Pelan pembangunan baharu untuk Kampung Baru dengan kos RM1.5 bilion - Annuar
Firdaus Azil
November 3, 2020 15:59 MYT
November 3, 2020 15:59 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Kampung Baru yang dibentangkan sewaktu era Pakatan Harapan (PH), tidak dapat diteruskan kerana gagal mendapat persetujuan kesemua pemilik tanah di kawasan itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pelan yang berasaskan konsep ‘willing buyer, willing seller’ ke atas tanah di kawasan itu, hanya mendapat persetujuan daripada 61 peratus pemilik.
Beliau berkata, kementerian dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) akan membentangkan pelan induk yang baharu dengan kos anggaran keseluruhan bernilai RM1.5 bilion.
“Kementerian dengan kerjasama PPKB telah mula mengambil langkah seterusnya untuk membangunkan Kampung Baru (iaitu) dengan membangunkan pelan induk pembangunan yang baru yang akan dipecah-pecahkan kepada lebih daripada 40 parcel dan akan dibangunkan secara organik, parcel ke parcel.
“Dengan itu, kaedah bagi menyelesaikan masalah pemilikan oleh tuan-tuan tanah dijangka akan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan sebagai permulaan, beberapa parcel tertentu boleh dimulakan pembangunannya mulai tahun hadapan,” katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Wan Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Hassan ingin mengetahui perkembangan kemajuan urusan perundingan penyelesaian berkaitan isu tanah Melayu di Kampung Baru Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad kemudian bangkit bertanyakan soalan tambahan, yang menyatakan jawapan menteri tidak jelas dan yakin pelan terdahulu boleh dicapai sekiranya ada komitmen berterusan daripada kerajaan.
“Saya merasakan bahawa jawapan Menteri Wilayah tidak memuaskan sama sekali. 61 peratus melebihi 50 peratus daripada penduduk. Dan itu pun ianya adalah jumlah yang diperolehi pada bulan Februari, sebelum kerajaan (Pakatan Harapan) dikhianati dan dijatuhkan.
“Sedangkan tarikh tamat usaha kita adalah pada bulan Jun. Daripada Februari sampai Jun kita yakin kita boleh dapat kalau diusahakan sampai 75 hingga 80%. Malangnya Menteri Wilayah telah gagal untuk melakukannya,” katanya lagi.
Annuar kemudian berkata, konsep ‘willing buyer, willing seller’, memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik tanah sebelum ia dapat diteruskan.
“Saya ingin ulangi komitmen kerajaan Perikatan Nasional bahawasanya usaha membangunkan Kampung Baru tetap akan diteruskan. Langkah awal akan diambil tanpa membuang masa dengan cara PH dulu iaitu kita akan terus bangunkan segala kemudahan prasarana utama dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion.
“Dalam pada itu parcel lima ekar ini di tengah-tengah bandar itu sudah cukup besar. Satu ekar pun orang berebut-rebut nak membangunkan, dengan adanya parcel lima ekar kita boleh jalankan pembangunan dengan melibatkan pemilik tanpa kita paksa,” katanya lagi.
#Annuar Musa
#Kampung Baru
#Dewan Rakyat
#pelan baharu
#Perikatan Nasional
#Pakatan Harapan
#Khalid Samad
#Kementerian Wilayah Persekutuan