Pelan jangka panjang penting bantu populasi menua - Amir Fareed

Faida Rahim
Julai 4, 2023 00:49 MYT
Amir Fareed Rahim berpendapat, sekiranya golongan pesara berusia 60 hingga 70 tahun masih sihat, mereka wajar diberi peluang bekerja secara sambilan. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pelan jangka panjang untuk menangani kesan ekonomi negatif yang timbul daripada populasi menua perlu diberi perhatian serius.
Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim berpendapat, sekiranya golongan pesara berusia 60 hingga 70 tahun masih sihat, mereka wajar diberi peluang bekerja secara sambilan.
"Keprihatinan kerajaan penting dalam meringankan beban golongan emas agar tidak terjerumus di dalam kemiskinan pada hari tua.
"Kemiskinan masa tua ini sesuatu yang perit kerana mereka tidak lagi aktif secara ekonomi. Tetapi pada masa sama perkara ini perlu dijelaskan betapa pentingnya untuk mempunyai simpanan yang mencukupi di usia tua," katanya dalam Agenda Awani pada Selasa.
Tambah beliau, kerajaan perlu mengambil kira idea bantuan khas secara one off memandangkan golongan ini sukar untuk mereka bekerja namun bergantung segalanya kepada kedudukan kewangan kerajaan.
Jelasnya, Malaysia memerlukan pembaharuan dan perlu mewujudkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi serta sistem perlindungan hari tua yang lebih berkesan.
#KRA Group #golongan emas #populasi menua #pertumbuhan ekonomi
;