Pelan jangka masa panjang tangani kes rogol bawah umur tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Astro Awani
Disember 14, 2021 07:10 MYT
Charles Santiago turut memohon pencerahan langkah mengurangkan pengeluaran karbon (carbon emission). - Foto fail
KUALA LUMPUR: Pelan strategik jangka masa panjang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menangani kes rogol bawah umur dan sumbang mahram yang masih berleluasa dalam negara menjadi antara yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Selain itu, langkah serta merta dan rancangan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil dalam penjanaan tenaga juga antara fokus sidang Parlimen hari ini.
Penjelasan itu diminta oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang turut memohon pencerahan langkah mengurangkan pengeluaran karbon (carbon emission) untuk mencapai ‘carbon neutral’ sebelum tahun 2050.
Antara lain, persoalan mengenai usaha dan insentif untuk memajukan industri taman tema hiburan keluarga di Malaysia yang semakin malap dan menanggung kerugian besar akibat COVID-19 turut dibangkitkan.
Pertanyaan tersebut diajukan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Isu berkenaan sokongan ekosisitem bagi rantaian bekalan tempatan seperti yang telah dibuktikan menerusi kejayaan Farm Fresh dan Ramly Burger juga antara tumpuan hari ini.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meminta Menteri Pertanian dan Industri Makanan menjelaskan perkara tersebut selain langkah-langkah penyelesaian pemutusan rantaian bekalan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan pembaziran hasil pertanian.
Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini.
#Dewan Rakyat #kes rogol #bahan api fosil #pelancongan
;