Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi bantu koperasi sepanjang PKP - Noh Omar
Astro Awani
September 27, 2021 16:37 MYT
September 27, 2021 16:37 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi berjumlah RM20 juta dapat membantu koperasi yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, pelan yang diperkenalkan melalui agensi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu adalah sebagai usaha meningkatkan kembali aktiviti koperasi melalui empat program yang diperkenalkan.
Jelasnya, program berkenaan adalah Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR), Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR); Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) dan Dagang Produk atau Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-Dapat).
Sejajar dengan itu ujar Noh, bagi membantu koperasi khususnya di Kedah, sejumlah RM1.125 juta daripada peruntukan berkenaan diagihkan bagi memberi faedah kepada koperasi dan anggota di negeri itu.
"Sebanyak RM225,000 diberikan untuk JKPR membabitkan 17 koperasi di negeri itu. Bagi program KPR sebanyak RM300,000 diberikan kepada tiga koperasi dan TRANSFER pula membabitkan jumlah RM600,000 disalurkan kepada enam koperasi terpilih.
"Tujuan bantuan geran ini diberikan dapat membantu koperasi kembali menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih baik lebih lagi selepas negara dilanda pandemik COVID-19.
"Dari perspektif ekonomi pula, ia dapat memupuk semangat koperasi untuk mengeluarkan produk sendiri dalam pelbagai bidang dan membangunan pendapatan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Penyerahan Bantuan dan Pembiayaan Intervensi Pemulih Ekonomi Koperasi Peringkat Negeri Kedah Tahun 2021, di Menara Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad, Alor Setar.
Turut hadir, Timbalan Menteri MEDAC, Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Datuk Ahmad; Timbalan Pengerusi SKM, Zazali Haron dan Pengerusi Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad, Ahmad Rusli Din.
Dalam majlis sama, Koperasi Kakitangan Kumpulan Syarikat Dr Azizan Kedah Berhad; Koperasi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kedah Berhad; Koperasi Perserta-Peserta Rancangan Gugusan Weng Baling Berhad; Koperasi Keluarga Nodin Abu Bakar Kedah Berhad, Koperasi Mukim Sidam Kanan Berhad turut hadir untuk menerima cek replika bagi bantuan pembangunan koperasi.
Selain itu, Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) berjumlah RM191,300 disampaikan kepada tiga koperasi di Kedah yang diluluskan permohonannya oleh SKM.
Terdahulu, Noh Omar dalam ucapannya berkata kerajaan terus prihatin dan komited dalam membantu 14,629 buah koperasi di negara ini dalam menangani kelembapan operasi perniagaan berikutan PKP.
Katanya, aktiviti koperasi yang terjejas turut memberikan kesan kepada kebajikan 6.48 juta anggota koperasi seluruh negara.
"Program JKPR sebagai contoh dapat memberikan bantuan geran secara one-off kepada koperasi yang menjalankan aktiviti peruncitan bagi mengurangkan harga barangan keperluan harian rakyat.
"Bantuan berbentuk geran ini akan dibuat terus kepada 200 koperasi di seluruh negara yang dikenal pasti terlibat dalam sektor pemborongan dan peruncitan.
"Pakej PEMULIH ini dapat meningkatkan jualan harian koperasi sehingga 30 peratus di samping dapat membantu menangani kos sara hidup termasuk anggota koperasi dan golongan B40 serta M40 dengan potongan pembelian barangan runcit sebanyak 15 peratus," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Koperasi Mukim Sidam Kanan Kedah Berhad, Mohamad Zuki Abdul Rahman, 72, berkata Bantuan Geran bernilai RM100,000 bagi program KPR dapat dimanfaatkan untuk membina bumbung bagi peniaga pasar pagi dan malam.
"Bantuan ini akan digunakan sebaiknya untuk menambah baik infrastruktur tapak perniagaan pasar pagi dan malam dengan membina bumbung bagi memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.
"Sehingga kini, kami mempunyai 146 tapak perniagaan pasar pagi dan malam untuk disediakan kepada peniaga," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Koperasi Permodalan Melayu Wilayah Kuala Sik Kedah Berhad, Wan Norshahid Zainul, 56, berkata, bantuan TMPSKM bernilai RM50,000 dapat membantu koperasi menambah aset bangunan dan tanaman.
"Kami juga menjalankan aset dengan tanaman sawit dan projek ini dapat membantu tambah pendapatan koperasi menerusi tanaman.
"Selain itu, bantuan ini juga membolehkan koperasi menguruskan tanaman pisang nipah dan berangan sementara menunggu hasil sawit," jelasnya.
#Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi
#RM20 juta
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#COVID-19
#ekonomi
#usahawan
#PEMULIH
#Tan Sri Noh Omar
#Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
#Medac