Pelan induk pengurusan sumber manusia yang holistik sedang dirangka

Hafiz Marzukhi
September 6, 2016 11:54 MYT
Datuk Seri Richard Riot berkata cadangan pengurangan masa bekerja kepada enam jam sehari akan turut dikaji pelaksanaannya. -Gambar fail
Kementerian Sumber Manusia sedang merangka satu pelan induk yang holistik berkenaan masa depan pengurusan sumber manusia di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Richard Riot berkata cadangan pengurangan masa bekerja kepada enam jam sehari akan turut dikaji pelaksanaannya.
"Namun, bukan perkara ini sahaja yang akan disentuh. Kita juga mengkaji sistem bekerja yang fleksibel supaya golongan seperti suri rumah boleh juga bekerja dari rumah," kata Riot.
Apabila ditanya sekiranya kementerian akan mempertimbangkan pindaan Akta Kerja, beliau mengakui perkara tersebut akan dibincangkan.
"Harus diingat, bukan sahaja Akta Kerja yang harus dikaji. Terdapat 25 akta lain yang berkaitan dengan Kementerian Sumber Manusia. Semuanya akan dilihat dan diteliti," jelas beliau.
Riot ditemui selepas merasmikan promosi bagi acara ASEAN Skills Competition (ASC) dan Karnival & Expo Kemahiran Kebangsaan (KEKK) yang akan diadakan di Serdang dari 24 hingga 26 September ini.
Dalam sidang media tersebut, Riot turut ditanya adakah Malaysia mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mencukupi menjelang tahun 2020.
Jawab beliau, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran dalam masa empat tahun lagi.
"Kita kini berada pada tahap 31 peratus.
"Sasaran yang diletakkan adalah 35 peratus daripada tenaga kerja kita terdiri daripada golongan berkemahiran tinggi pada tahun 2020. Saya cukup yakin kita boleh capai sasaran tersebut," kata beliau.
#enam jam sehari #Kementerian Sumber Manusia #pengurangan masa bekerja #Richard Riot #tenaga kerja berkemahiran
;