Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India dilancarkan Januari depan
Nuradilla Noorazam
Oktober 16, 2016 12:47 MYT
Oktober 16, 2016 12:47 MYT
Kerajaan bakal melancarkan Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India pada Januari depan bagi membantu kaum India dalam aspek sosio-ekonomi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berucap sewaktu majlis perasmian Mesyuarat Agung MIC ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, berkata pelan tersebut adalah sebuah "living document" akan menyediakan hala tuju untuk mencapai pembangunan masyarakat India di negara ini.
"Sebuah sekretariat akan diwujudkan bagi mengenal pasti dan mengatasi semua aspek perlaksanaan polisi kerajaan untuk kaum India.
"Pelan tersebut akan menyelesaikan banyak masalah pelaksanaan polisi kerajaan untuk kaum India.
"Kita dapatkan banyak polisi yang diluluskan adalah bagus tetapi tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana pelbagai isu.
"Saya kecewa apabila keputusan-keputusan yang saya buat tidak dilaksanakan" kata Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional.
Menurunya, pelan ini akan membolehkan kerajaan mengenal pasti masalah di akar umbi dan peringkat pelaksanaan bagi memastikan ia tidak berlaku lagi.
"Contohnya kerajaan beri peruntukan untuk pembinaan sekolah kebangsaan Tamil (SKJT). Ada sesetengah sekolah yang mempunyai taska dan ada yang tidak ada.
"Jadi pelan ini akan memastikan bahawa setiap sekolah SJKT akan mempunyai taska," ujar Najib.