Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga, inisiatif rancakkan sektor pelancongan
Astro Awani
November 13, 2020 15:41 MYT
November 13, 2020 15:41 MYT
KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak akan membangunkan Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga.
Inisiatif ini dibangunkan sebagai exit plan negeri itu dalam merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat penularan COVID-19.
Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa sesi penggulungan kementerian tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
Jelasnya, pelan induk itu juga bagi membangunkan dan merancang langkah strategik serta membentuk pelan tindakan bagi sektor pelancongan seterusnya memacu pemulihan dan pertumbuhan jangka penjang.
“Rancangan induk ini akan meneroka model dan strategi baharu untuk memenuhi permintaan dan penawaran mellibatkan sektor ini.
“Ini kerana industri pelancongan merupakan salah satu sektor ekonomi utama di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak,” jelas Awang Tengah.
Selain itu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak juga sedang merancang beberapa inisiatif yang merupakan fokus utama dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Antaranya membangunkan fasiliti eko-pelancongan di kawasan taman negara, pantai dan air terjun, memartabat sejarah dan mempromosi keunikkan Sarawak.
Ia juga melibatkan rancangan membina pusat seni persembahan negeri sebagai hab memperkasa bakat baharu bidang seni serta membangunkan pusat kraf tangan Sarawak sebagai nilai tarikan pelancongan.
Setakat Oktober 2020, jumlah kemasukan pelancong ke negeri Sarawak terus merosot kepada 68.8 peratus atau 1.17 juta berbanding tempoh sama pada 2019 dengan 3.76 juta.
Penularan COVID-19 juga menyaksikan sasaran awal negeri itu untuk mencatat kemasukan lima juta pelancong sepanjang tahun ini juga tidak tercapai.
#Pelan Induk Pelancongan Sarawak
#Unit Perancang Ekonomi Sarawak
#sektor pelancongan negeri
#COVID-19
#industri pelancongan terjejas
#Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak
#Awang Tengah Ali Hasan