Pelan HIJRAH24 diyakini dapat lonjakkan semula prestasi Tabung Haji - PM
Firdaus Azil
April 20, 2022 19:17 MYT
April 20, 2022 19:17 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan HIJRAH24 diyakini dapat melonjakkan semula aktiviti perniagaan serta pelaburan Tabung Haji (TH) bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangannya secara berterusan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Perdana Menteri, sejak pandemik COVID-19 melanda, banyak syarikat serta perniagaan yang terkesan dan terpaksa melakukan perubahan drastik dalam struktur operasi syarikat masing-masing.
Justeru, katanya, TH tidak terkecuali daripada berbuat demikian supaya terus kekal dan berwibawa selari dengan arus semasa.
“Saya yakin Tabung Haji telah mengenal pasti perkhidmatan yang boleh disesuaikan dengan norma baharu dan situasi terkini, selain berdaya tahan dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan (future-proof).
“Saya juga dimaklumkan bahawa pelan ini dibangunkan selari dengan nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia yang menerapkan pengkayaan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran HIJRAH24 dan Berbuka Puasa di Menara Tabung Haji di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan pimpinan kanan Tabung Haji.
Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, HIJRAH24 merupakan Pelan Transformasi Strategik TH 2022-2024 bagi memacu organisasi untuk tiga tahun ke hadapan, terutamanya dalam menempuh cabaran yang mendatang.
Kata beliau, pelan tersebut merangkumi 24 inisiatif strategik untuk mencapai aspirasi TH dengan tumpuan kepada pengukuhan struktur tadbir urus korporat, operasi serta didorong oleh inisiatif digitalisasi.
“Tahniah saya ucapkan kepada Tabung Haji atas usaha gigih bagi memastikan institusi Islam yang menjadi ikon kebanggaan negara terus berdaya saing dan kekal relevan. Saya mendoakan agar HIJRAH24 ini dapat dikotakan pada akhir tempoh 2024 seperti yang dirancang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, TH wajar diberi penghargaan kerana sentiasa bersedia melakukan transformasi untuk kekal dan berkesan.
“Ini kerana sesebuah syarikat tidak akan maju jika hanya menunggu dan tidak mengambil langkah berani untuk mencuba sesuatu yang baharu sesuai dengan kehendak pemegang taruh.
“Bagi kerajaan, ia menaruh keyakinan terhadap Tabung Haji dan akan terus memberi sokongan atas usaha dan inisiatifnya demi kebaikan jemaah haji khususnya, dan umat Islam umumnya,” katanya lagi.
Sementara itu, Azman dalam ucapannya berkata, melalui pelan tersebut, TH menetapkan beberapa sasaran utama termasuk peningkatan saiz dana berjumlah RM100 bilion menjelang 2024; penambahan jumlah pendeposit meliputi 50 peratus rakyat Malaysia serta keuntungan boleh agih kepada pendeposit pada kadar melebihi 0.75 peratus daripada kadar pulangan Islamik.
Selain itu, beliau berkata, pelan tersebut mensasarkan peningkatan pengguna THiJARI melebih empat juta orang; peningkatan indeks kepuasan pelanggan melebihi 90 peratus dan indeks penglibatan anggota melebihi 75 peratus.