KUALA LUMPUR : Kerajaan akan memperkasakan sektor teknologi baharu dan pelaburan ekonomi digital strategik bagi memacu aspek pendigitalan negara secara lebih holistik.

Ujar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan juga telah memutuskan untuk membangunkan Pelan Hala Tuju Robotik Negara (National Robotics Roadmap atau NRR) dalam mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik seterusnya meningkatkan produktiviti negara.

"Pelan ini mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing seterusnya meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara.

"Kepadatan robot di Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2019 adalah 55 unit dan sasarannya adalah 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2030," katanya.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) pada Khamis.

Selain itu, kerajaan juga kata Perdana Menteri menyokong konsep Projek Pemangkin (Catalytic Projects) bagi memacu Aspirasi MyDIGITAL.

Jelasnya, mesyuarat juga bersetuju menubuhkan pasukan petugas projek pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek yang sesuai dan memantau pelaksanaan yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

"Projek pemangkin akan dibiayai oleh sektor swasta dan kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudahcara.

"Beberapa projek pemangkin termasuk perubatan pintar menyasarkan penubuhan hospital yang menggunakan teknologi 5G bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat.

"Bandar pintar menyasarkan pelbagai kes kegunaan (use cases) berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan yang lebih bermakna," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, kerajaan mengambil maklum berkenaan perkembangan positif beberapa insiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan.

Ini termasuk  Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), akses rangkaian borong 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB), serta program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK).

"Tanggal 19 Februari 2022 merupakan ulang tahun pertama pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta pengenalan MyDIGITAL sebagai satu inisiatif Kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi serta peneraju serantau dalam ekonomi digital," katanya lagi.