Pelan baharu bantu mudahkan proses pengambilan pekerja asing diwujudkan - Saifuddin

Ridauddin Daud
Januari 10, 2023 15:13 MYT
Kerajaan akan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi membantu memudahkan proses pengambilan pekerja asing bagi mengisi kekosongan dalam beberapa sektor kritikal di Malaysia. - Gambar fail
PUTRAJAYA : Kerajaan akan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi membantu memudahkan proses pengambilan pekerja asing bagi mengisi kekosongan dalam beberapa sektor kritikal di Malaysia.
Melalui pelan itu, majikan akan dibenar untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kepada kemampuan dan keperluan sebenar majikan tanpa perlu melalui pra-syarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Penggajian Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Itu tidak sama sekali menggadai pertimbangan kerajaan dalam buat polisi ini dari aspek keselamatan atau kedaulatan undang-undang. Prinsipnya tetap diamalkan.
“Maknanya, aspek tapisan lain, keselamatan tetap seperti biasa, aspek kebajikan pekerja asing tetap terjaga. Di pihak kerajaan, kami jangkakan polisi ini dapat mempermudahkan dan kemudian melonjakkan ekonomi negara.
“Ini kerana sektor kritikal banyak terjejas. Pendekatan ini adalah pendekatan unprecedented
(tidak pernah berlaku sebelum ini), bukanlah kita anggap kekal. Kita akan laksanakanya sesuai dengan keperluan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, majikan boleh memohon kepada kementerian untuk penggajian pekerja asing itu atau melalui ejen pengambilan pekerja asing namun perlu menjalani proses naziran dan inspektoran.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan siri lawatan kerja delegasi Malaysia akan dilaksanakan ke negara sumber terpilih bertujuan untuk membincangkan perihal keselamatan dan kebajikan pekerja asing di Malaysia.
“Mesyuarat juga bersetuju, satu delegasi untuk pergi ke negara-negara sumber utama bagi kita membincangkan dan untuk kita maklumkan berkaitan jangkaan polisi ini kepada negara sumber.
“Ini bagi memastikan negara sumber itu faham bahawa kita berharap untuk mudahkan proses pengambilan pekerja dan kita mohon mereka bantu, berdasarkan sistem dari negara mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, lawatan tersebut juga akan membawa hasrat bagi memastikan objektif Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dapat dicapai.
#pekerja asing #pelan baharu #sektor kritikal #Saifuddin Nasution Ismail
;