Hab anak muda di Stadium Muar: Skop naik taraf dari balapan ke padang - Adam Adli

Faida Rahim
Julai 17, 2024 08:38 MYT
Adam Adli memberitahu kementeriannya telah meminda skop balapan kepada skop naik taraf padang berpandukan kepada peruntukan sedia ada. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pelan asal pembinaan hab anak muda di Stadium Muar melibatkan skop naik taraf balapan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim memberitahu kementeriannya telah meminda skop balapan kepada skop naik taraf padang berpandukan kepada peruntukan sedia ada.
"Pelan asal pembinaan hab anak muda di Stadium Muar melibatkan skop naik taraf balapan. Namun begitu, atas permintaan pihak Majlis Perbandaran Muar untuk turut menaik taraf padang di stadium tersebut, kementerian ini telah meminda skop balapan kepada skop naik taraf padang berpandukan kepada peruntukan sedia ada," katanya dalam persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.
Belia menjawab soalan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta sekiranya terdapat pelan bagi menaik taraf balapan di Stadium Muar yang rosak kerana terkesan dengan pembinaan hab anak muda kerana ia merupakan satu-satunya balapan di daerah Muar dan digunakan sebelum pembinaan.
Menurut Adam Adli, Tunku Makhota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar merupakan salah satu dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) melibatkan kos sebanyak lebih RM26.1 juta meliputi kerja pembinaan gelanggang futsal, gimnasium, stadium bola dan hab anak muda.
Namun untuk menaik taraf balapan tersebut, KBS telah memohon peruntukan berjumlah RM15,697,920 dalam satu surat bertarikh 6 Februari 2024 iaitu permohonan tambahan daripada kementerian yang akan dikemukakan untuk RMK13 menerusi surat 14 Mac 2024.
#KBS #Belia #Zahid Hamidi #skop balapan #hab anak muda #stadium muar