Pelampau agama musuh perpaduan nasional - PM

Harits Asyraf Hasnan
Januari 21, 2017 13:05 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Program Detik-Detik Perpaduan di Taman Botani Tasik Perdana hari ini. - Foto BERNAMA
Golongan pelampau agama dilihat sebagai musuh kepada perpaduan nasional dan bukan warna kulit mahupun perbezaan agama yang dianuti.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ekstremisme tidak seharusnya dikaitkan dengan agama dan ia perlu ditolak oleh rakyat yang mengimpikan keamanan dan kestabilan negara.
“Bukan menjadi satu masalah kalau kita menganuti apa juga agama. Masalahnya ialah jika kita termasuk dalam golongan ekstremisme.
“Kita ada Muslim yang berada dalam golongan pelampau seperti IS dan Daish, kita ada penganut Buddha yang ekstrem seperti di Rakhine, Myanmar, kita ada golongan pelampau Kristian dan Yahudi.
“Golongan pelampau dalam beragama adalah musuh kepada perpaduan negara,” katanya ketika berucap pada program Detik-Detik Perpaduan di Taman Botani, Perdana, di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menyertai senamrobik bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup selain lebih 4,000 peserta Detik-Detik Perpaduan.
Pada majlis itu, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, diumumkan Ikon Perpaduan.
Najib berkata, selaku Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab untuk menentukan setiap rakyat dapat hidup dalam sebuah negara yang aman dan harmoni.
Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab untuk memastikan keamanan dan keharmonian itu berkekalan bukan hanya terletak pada bahunya, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat.
“Apabila saya bertanya kepada orang muda untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan berhubung Transformasi Nasional 50 (TN50), ramai yang sebut antara impian mereka ialah supaya mereka dapat hidup dalam sebuah negara yang aman dan harmoni.
“Lafaz ikrar Rukun Negara juga perlu diterjemahkan kepada tindakan dan perbuatan. Tiada makna kalau lafaz walau seindah kata-kata dan ungkapan tetapi tidak diikuti dan disusuli dengan tindakan. Tingkah laku mencerminkan apa yang kita luahkan menjadi pegangan dan amalan.
“Kita perlu membudayakan tema Detik-Detik Peraduan untuk menjamin kelangsungan perpaduan yang berterusan dalam negara,” katanya.
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Detik-detik Perpaduan #Perdana Menteri #perpaduan nasional
;