'Pelaku jenayah, bersedialah dengan hukuman orang awam', kata profesor
Hamzah Hamid
Januari 24, 2015 09:43 MYT
Januari 24, 2015 09:43 MYT
Kes seseorang yang ditangkap orang awam kerana dipercayai atau dengan jelas didapati melakukan kesalahan jenayah sering terjadi dalam masyarakat hari ini dan turut mendapat perhatian media.
Sama ada ditangkap orang ramai atas kes ragut, pecah rumah ataupun mencabul, pelaku kesalahan tersebut lazimnya akan menerima bukan sahaja makian malah serangan fizikal yang membawa kecederaan.
Dalam kes yang lebih teruk, ada pelaku jenayah yang dipukul hingga mati. Hal tersebut hanya menambah masalah dan terjadi kerana tiada pihak tampil menghalang tindakan ‘hukuman orang awam’ tersebut dan pada masa yang sama pihak berkuasa lewat tiba di tempat kejadian.
Pandangan umum
Dalam kes terbaru Rabu lalu, seorang remaja yatim piatu maut akibat dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah premis mencuci kenderaan iaitu tempat dia bekerja di Lebuh Carnovan, Georgetown, hanya kerana dituduh mencuri sesuatu dari tempat kerja.
Siapa yang sebenarnya bersalah dalam kes tersebut, biarlah menjadi tanggungjawab dan siasatan pihak polis. Peraturan dan undang-undang juga sedia untuk menghukum mana-mana individu yang melanggar ketetapan itu.
Dalam Facebook rasmi Astro AWANI, telah ditanyakan tentang isu ini untuk mengumpulkan pandangan umum.
“Mengapa hal ini boleh berlaku? Apakah punca yang mendorong mereka bertindak di luar batas perikemanusiaan? Adakah manusia semakin hilang kewarasan?” Tanya status tersebut, merujuk kepada orang awam yang mengambil tindakan di tangan sendiri.
Antara pendapat yang ditinggalkan pengguna Facebook adalah kecelaruan pertimbangan akal sebegitu terjadi kerana manusia hari ini sudah hilang perasaan sabar dan kasihan berikutan semakin banyak kes jenayah yang menganiaya mangsa terjadi.
Selain itu, tindakan ‘ganas’ orang awam yang menghukum juga adalah kerana ia dianggap saluran melepaskan geram akibat tekanan hidup yang disumbang faktor ekonomi dan persekitaran. Faktor lain yang menyumbang kepada perbuatan ganas tersebut, menurut pengguna Facebook, adalah pengaruh sikap dan kurang pegangan agama.
Seorang pengguna Facebook, Lawrence Nair, berpendapat ‘semuanya ada kaitan dengan cara seseorang itu dibesarkan dan pergaulan dengan golongan yang berakhlak buruk’.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Dalimah Hamzah pula berkata, ‘manusia hilang pegangan dan perikemanusiaan kerana kejahilan bermaharajalela’.
Jadi pengajaran
Dari suatu sudut lain, tindakan orang awam yang menangkap dan menghukum pelaku jenayah adalah sangat ‘dialu-alukan’, kata Pensyarah Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud.
“Saya sebenarnya amat suka orang awam jadi begitu. Saya telah menunggu sekian lama untuk melihat mesyarakat Malaysia berani bertindak pada mereka yang melakukan kesalahan atau jenayah.
“Pada pelaku jenayah, bersedialah dengan hukuman orang awam. Itulah cara kita mengajar sekelompok manusia yang tidak bertamadun," ujar beliau.
Menurut Fatimah, dengan cara begitu, kita sebenarnya mengajar lebih ramai orang jadi bertamadun dan benci pada golongan yang melanggar undang-undang.
Tambah beliau, selama ini masyarakat asyik menyerahkan segala tanggungjawab tersebut kepada pihak berkuasa, lalu golongan pelaku jenayah tidak takut pada masyarakat sekeliling.
Sekiranya orang awam sentiasa dalam mod ‘memantau dan menghukum’, pelaku jenayah secara tidak langsung semakin takut atau berkira-kira untuk berbuat jahat.
Begitupun, kata Fatimah, dalam pada hukuman umum memberi kepuasan pada sebahagian orang yang menganggap ia wajar, janganlah sampai hukuman tersebut mencederakan seseorang sehingga melampau apatah lagi menyebabkan kematian.
“Pada masa yang sama, situasi yang paling perlu dihindari orang ramai adalah hukuman umum yang boleh menimbulkan konflik antara kaum.
“Kaedah yang paling baik adalah, orang awam boleh membuat tangkapan umum jika ia tidak menjejaskan keselamatan diri. Seterusnya, serahlah kepada pihak berkuasa atau polis,” terang beliau.
Fatimah yang banyak menjalankan kajian mengenai perilaku masyarakat di negara ini juga bersetuju dengan pendapat bahawa pada asalnya, rakyat negara ini sangat santun, penyayang dan prihatin.
Namun, dengan lambakan orang asing khususnya golongan PATI, nilai-nilai murni tersebut ditenggelamkan dengan sifat dan sikap orang luar yang membelakangkan adab, melanggar undang-undang sesuka hati dan melakukan jenayah tanpa rasa takut.