Pelaksanaan semula PKP sepenuhnya undang impak buruk - FMM
Bernama
Januari 25, 2021 00:01 MYT
Januari 25, 2021 00:01 MYT
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini menyifatkan sebarang pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh dan lebih ketat boleh mengundang impak lebih buruk dan sukar dipulihkan terhadap sektor perniagaan dan ekonomi serta menjejaskan kelangsungan perniagaan dan jaminan pekerjaan
Oleh itu, menurut FMM, ia menggesa industri untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dan memainkan peranan mereka dengan mengambil langkah proaktif dan perlindungan tambahan untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di tempat kerja dan kuarters kediaman pekerja.
"Industri amat bimbang dengan amaran Kementerian Kesihatan bahawa sistem kesihatan negara kini berada pada tahap yang maksimum akibat kes COVID-19 yang terlalu tinggi.
"Kami turut prihatin terhadap perkembangan terkini bahawa sejumlah 318 kluster aktif COVID-19 dengan 99 peratus atau 30 peratus daripadanya adalah daripada sektor pembuatan," kata Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata FMM telah mengeluarkan peringatan sekali lagi kepada ahlinya mengenai langkah tambahan yang perlu diambil untuk melindungi tenaga kerja dan membendung penularan jangkitan.
Soh berkata memandangkan hostel dan kediaman pekerja telah dikenal pasti sebagai punca penularan jangkitan COVID-19, wujud keperluan yang mendesak kepada majikan untuk memberi lebih perhatian kepada keadaan hidup para pekerja dan memastikan mereka mematuhi kesemua SOP yang ketat termasuk keperluan penjarakan sosial di kawasan kediaman.
Beliau berkata ini termasuk mengenakan syarat yang sama kepada keadaan hidup pekerja sub-kontrak dan mematuhi arahan kerajaan kepada semua pekerja asing supaya menjalani saringan COVID-19 dan berusaha menyelesaikan perkara ini secepat mungkin menjelang tempoh akhir yang ditetapkan.
"Ujian secara besar-besaran turut terbukti sebagai pendekatan paling efektif untuk mengesan kes positif dan mendorong protokol yang diperlukan untuk memastikan tindakan pantas dan gangguan yang minimum terhadap operasi," katanya.
Soh berkata industri telah meminta sokongan yang berterusan daripada kerajaan untuk membantu semua majikan kerana mereka berusaha untuk mematuhi beberapa syarat dan arahan itu yang mempunyai kesan langsung ke atas kepatuhan mereka dalam SOP tertentu iaitu pematuhan kepada Akta 446 mengenai penginapan untuk pekerja dan ujian wajib kepada semua pekerja asing.
Mengenai saringan wajib ke atas semua pekerja asing, beliau berkata FMM telah merayu kepada kerajaan agar bersetuju memberikan subsidi ke atas kos ujian RTK antigen supaya majikan di semua negeri yang dikenakan PKP dapat segera menyelesaikan ujian mandatori itu menjelang tempoh akhir.
Soh berkata kerajaan perlu memastikan klinik dan hospital mematuhi sepenuhnya kos yang telah ditetapkan bagi ujian RTK antigen/RT-PCR kepada semua termasuk pekerja asing atau apabila semua ujian secara besar-besaran telah dilakukan dan mempertimbangkan diskaun yang bersesuaian untuk kos perkhidmatan/kos saringan yang akan ditanggung oleh majikan.
"Pengumuman awal mengenai program pemvaksinan nasional dan kumpulan yang perlu diutamakan adalah kritikal ke arah rancangan kesinambungan perniagaan industri.
"Perlu diakui bahawa selagi pandemik ini melanda, pertumbuhan dan pelaburan oleh sektor swasta akan kekal lemah dan pemulihan ekonomi akan terus lembap," katanya.
-- BERNAMA
#PKP
#Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia
#perintah kawalan pergerakan
#FMM
#impak buruk
#SOP
#COVID-19