Pelaksanaan saringan air kencing secara meluas di konsert tidak praktikal - KP AADK
Bernama
Januari 14, 2025 15:30 MYT
Januari 14, 2025 15:30 MYT
KAJANG: Pelaksanaan ujian air kencing secara meluas di tapak konsert dilihat tidak praktikal dan sukar dilaksanakan, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh.
Ringkasan AI
- Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, menyatakan bahawa pelaksanaan ujian air kencing secara meluas di tapak konsert tidak praktikal dan sukar dilaksanakan kerana proses saringan mengambil masa dan tidak boleh dilakukan sembarangan.
- Fokus AADK adalah untuk melaksanakan penguatkuasaan serta kempen pencegahan dadah di lokasi konsert, termasuk memaparkan mesej bahaya dadah di tiket dan mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur.
- Trend penyalahgunaan dadah menunjukkan peningkatan 31.6% setakat September 2024 berbanding tempoh sama pada 2023, dengan golongan berumur 19 hingga 39 tahun paling ramai menyalahgunakan dadah jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) seperti syabu, pil kuda, serta ekstasi.
Beliau berkata proses saringan air kencing bagi mengesan penyalahgunaan dadah tidak boleh dilakukan sembarangan serta mengambil masa.
"Kita boleh laksanakan ujian secara rawak, tetapi untuk kita buat secara keseluruhan bagi mereka yang hadir, itu kita lihat tidak praktikal," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah dan Perhimpunan Bulanan AADK di ibu pejabat agensi itu di sini hari ini.
Ruslin berkata fokus AADK lebih kepada untuk memastikan kehadiran dengan melaksanakan penguatkuasaan serta kempen pencegahan dadah di lokasi konsert.
Beliau berkata mesej bahaya dadah juga boleh dipaparkan di tiket dan pertemuan bersama pihak penganjur bakal diadakan bagi mencapai jalan penyelesaian isu ini kerana semua pihak tidak mahu industri ini dikaitkan dengan dadah memandangkan yang terlibat segelintir kecil sahaja.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ruslin berkata trend penyalahgunaan dadah setakat Sept 2024 menunjukkan peningkatan 31.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 dengan 169,691 pesalah dikesan.
Beliau berkata golongan berumur 19 hingga 39 tahun adalah paling ramai menyalahgunakan dadah dengan 98,977 orang dan dadah paling banyak disalah guna adalah Amphetamine Type Stimulant (ATS) seperti syabu, pil kuda serta ekstasi diikuti jenis opiat.
Menurut Ruslin trend berkenaan menjadi bukti penyalahgunaan dadah terus menjadi isu serius yang perlu ditangani dengan lebih berkesan menerusi pendekatan yang lebih agresif dan inovatif.
Beliau berkata pihaknya juga sedang merangka Pelan Komunikasi Antidadah bagi menyebar luas mesej yang tepat dan terkini bagi membantu individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
-- BERNAMA