Pelaksanaan PuTERA35 dipantau Majlis Ekonomi Bumiputera - Kementerian Ekonomi

Bernama
Ogos 19, 2024 22:06 MYT
Anwar (tengah) bersama Ahmad Zahid (empat, kiri) dan Rafizi (empat, kanan) ketika acara peluncuran PuTERA35 hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) akan dipantau sepenuhnya oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Kementerian Ekonomi, pelaporan dan pemantauan secara sistematik dan bersepadu melalui dashboard akan membolehkan penilaian yang lebih menyeluruh serta langkah intervensi dapat diambil dengan segera.
"Peranan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di semua kementerian juga akan diperkasa dan diberi tanggungjawab untuk membuat pelaksanaan dan pemantauan Ikhtiar secara rapi pada peringkat kementerian dan agensi," katanya dalam kenyataan hari ini.
PuTERA35 yang diluncurkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan hari ini disokong oleh tiga teras, 12 pemacu dan 132 ikhtiar yang komprehensif, berani, berpandangan jauh dan lebih inklusif serta merupakan anjakan besar dalam membawa pembangunan bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.
Tiga teras yang digariskan dalam PuTERA35 adalah memperkukuh pasak ekonomi negara, memperteguh kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.
"Langkah strategik melalui PuTERA35 ini yang turut melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat swasta bukan sahaja akan memberi manfaat langsung kepada negara dan bumiputera, malah kumpulan minoriti bukan bumiputera yang memerlukan tanpa meminggirkan mana-mana pihak," kata kenyataan itu.
Kementerian berkata pelaksanaan PuTERA35 memerlukan jangka masa yang berbeza, merentas tempoh 10 tahun sehingga 2035.
Menurut kenyataan itu, antara matlamat pelan ini adalah membangunkan bumiputera yang dinamik dan futuristik; menetapkan sasaran yang lebih jelas bagi pengukuran tahap penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi bumiputera; dan membangunkan mekanisme pemantauan yang lebih berkesan, kata kenyataan itu.
Sementara itu, Kementerian Ekonomi berkata kerajaan menyasarkan sumbangan perusahaan bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 8.1 peratus pada 2022 kepada 15 peratus pada 2035.
Penyertaan dan penguasaan bumiputera melalui ekuiti GLC dan GLIC pula disasarkan meningkat daripada 18.7 peratus pada 2020 kepada 20 peratus menjelang 2035 manakala peratusan siswazah bumiputera dalam tenaga buruh disasarkan menokok kepada 97 peratus pada 2035 berbanding 85 peratus pada 2022, katanya.
-- BERNAMA
#KDNK #GLC #pelaburan #PuTERA35
;