Pelaksanaan PKPB di Klang perlu dipastikan tidak jejas ekonomi - Perdana Menteri

Astro Awani
Oktober 8, 2020 19:27 MYT
Mengenai situasi COVID-19 di Sabah, Perdana Menteri berkata, kapasiti sumber manusia, peralatan dan logistik akan dipertingkatkan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kegiatan ekonomi dan industri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang termasuk aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang perlu dipastikan tidak terjejas, tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelasnya, pelaksanaan PKPB di kawasan terbabit tidak boleh menjejaskan sektor ekonomi yang sedang pulih, lebih-lebih lagi membabitkan pekerjaan dan pendapatan rakyat.
"Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri melaporkan pihak industri bersedia untuk terus beroperasi dengan melaksanakan pematuhan SOP yang ketat bagi membendung penularan pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya pada Khamis.
BACA: Mukim Klang dikenakan PKPB, ini operasi yang masih dibenarkan beroperasi
Perdana Menteri pada pagi Khamis telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 menerusi sidang video di kediamannya.
Dalam mesyuarat itu, beberapa keputusan penting telah dicapai, antaranya berhubung pelaksanaan PKPB di mukim Klang.
"Mesyuarat hari ini yang turut disertai Menteri Besar Selangor bersetuju untuk memperincikan lagi dari segi lokaliti memandangkan Mukim Klang yang agak besar.
"Ini juga mengambil kira maklumat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bahawa hanya lokaliti tertentu yang terkesan dengan penularan COVID-19," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, mesyuarat juga memutuskan untuk melaksanakan SOP lebih ketat termasuk mewajibkan ujian saringan 'swab' COVID-19 terhadap semua banduan baharu, selain menempatkan mereka di tempat berasingan yang diwartakan sebagai ‘penjara sementara’ sehingga keputusan ujian diperolehi.
"Sekiranya hasil ujian didapati positif COVID-19, banduan terbabit akan dihantar terus ke hospital manakala, mereka yang negatif akan tetap dikuarantin di 'penjara sementara' selama 14 hari sebelum dipindahkan ke penjara kekal.
"Sekiranya bergejala, mereka juga akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan walaupun diuji negatif," katanya lagi.
Bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan banduan reman pula, mesyuarat memutuskan agar sebutan kes di mahkamah dijalankan secara dalam talian.
Mengenai situasi pandemik COVID-19 di Sabah terutama di kawasan Pantai Timur, kapasiti sumber manusia, peralatan dan logistik akan dipertingkatkan termasuk di hospital-hospital.
"Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah bersedia bagi memenuhi keperluan logistik Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri itu," kata Perdana Menteri.
#Muhyiddin Yassin #PKPB Klang #Mukim Klang #klang lockdown #cmco klang #KKM #Perdana Menteri
;