Pelaksanaan PKP penuh perlu maklumat tepat dari lapangan - Anwar
Astro Awani
Mei 28, 2021 16:27 MYT
Mei 28, 2021 16:27 MYT
PETALING JAYA: Sebarang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang ingin dilaksanakan memerlukan maklumat tepat dan cepat dari lapangan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumpulan maklumat penting di peringkat kerajaan negeri mahupun kerajaan sekiranya PKP ketat mahu diperkenalkan.
"Seperti yang saya jelaskan, maklumat dan data itu mesti tepat dan cepat. Itu yang kita lakukan sekarang - 'dashboard'. Kita minta supaya agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pusat kajian serta pertubuhan antarabangsa untuk mengumpulkan maklumat supaya kita tahu di mana daerah yang terlibat selain maklumat di peringkat tempatan.
"Kalau ada maklumat begitu, maka lockdown di kluster tertentu akan menjadi efektif dan tidak secara rambang sahaja.
"Kedua soal R-naught, apabila kita melihat ke belakang tentang apa yang sudah berlaku dan apa yang berlaku sekarang," katanya semasa sidang media selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Sunway Piramid pada Jumaat.
Dalam pada itu katanya, data akan memastikan unjuran saintifik sekali gus mengandaikan sebarang perkara yang akan berlaku dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Mengulas lanjut Anwar menjelaskan, permasalahan utama hari ini adalah usaha menyegerakan perolehan vaksin dan memastikan pengendaliannya lebih meluas.
Katanya, penggunaan jentera kerajaan perlu digerakkan sepenuhnya untuk memastikan kadar penerimaan suntikan vaksin berada pada tahap terbaik.