Pelaksanaan PKP beri kesan kepada ekonomi Sarawak - Abang Johari
Shafik Ahmad
Mei 12, 2021 13:11 MYT
Mei 12, 2021 13:11 MYT
KUCHING: Keputusan Sarawak untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu adalah untuk memastikan sektor ekonomi berjalan seperti biasa.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan PKP bukan jalan terbaik sebaliknya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak ada kaedah tersendiri.
"Melaksanakan PKP secara menyeluruh akan mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi negeri yang menerima tamparan hebat ekoran PKP dan PKPB setahun yang sudah.
"Ekonomi negeri harus terus dijana supaya rakyat kita tidak hilang pekerjaan dan program pembangunan terus terlaksana,” jelasnya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.
Mengulas mengenai peningkatan kes jangkitan secara mendadak berlaku di Sarawak kata Abang Johari pengalaman lampau Sarawak menangani wabak itu mampu membendung perkara itu.
Sehubungan itu, tegasnya, Sarawak tidak perlu melaksanakan PKP sebaliknya menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti tertentu.
“Selain pengalaman lampau, data dan keadaan di lapangan, pihak JPBN Sarawak akan terus mengenakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di tempat-tempat berlaku kes-kes jangkitan.
“Ini adalah sejajar dengan dasar kesan, uji, kuarantin dan pengasingan. Kaedah ini didapati lebih praktikal berbanding dengan menutup seluruh daerah atau negeri," katanya.
Walaupun keputusan yang dibuat kerajaan negeri menerusi JPBN Sarawak tidak dapat memuaskan hati semua pihak tetapi jawatankuasa itu komited untuk memastikan penularan COVID-19 berjaya dikekang.
#Pelaksanaan PKP
#Sarawak PKP
#Abang Johari Tun Openg
#sektor ekonomi
#JPBN Sarawak
#penularan COVID-19