Pelaksanaan pakej rangsangan beri kesan positif kepada ekonomi negara - Zafrul

Ridauddin Daud
November 19, 2020 16:10 MYT
Tengku Zafrul berkata, Belanjawan 2021 merupakan bukti bahawa kerajaan tidak pernah berkompromi dalam melindungi rakyat daripada ketidaktentuan COVID-19. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR : Pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang cepat, tepat dan bersasar telah memberi impak positif kepada ekonomi negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara kesan ketara adalah penurunan kadar pengangguran turun kepada 4.6 peratus pada September berbanding 5.3 peratus pada Mei lepas.
“Kedua, dalam pengumuman KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) suku ketiga oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini, Malaysia telah mencatat penguncupan negatif 2.7 peratus.
“Ini adalah penurunan ketara daripada negatif 17.1 peratus pada suku kedua. Pencapaian KDNK suku ketiga ini adalah terbaik di rantau Asia dan mengatasi beberapa negara OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi) lain.
“Namun usaha kita belum selesai. Bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mencapai kadar 6.5 peratus ke 7.5 peratus yang diunjurkan pada tahun 2021, kita perlu melonjakkan pelaburan di samping memastikan kutipan hasil negara yang lebih efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2020 (HII2020) secara dalam talian pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, Belanjawan 2021 merupakan bukti bahawa kerajaan tidak pernah berkompromi dalam melindungi rakyat daripada ketidaktentuan COVID-19.
“Dari sudut percukaian, belanjawan ini telah memperkenalkan pelbagai insentif cukai kepada sektor impak tinggi, dijangkakan dapat menarik pelaburan dan menarik lebih banyak penyertaan.
“Ia sekaligus merancakkan industri tersebut dan memberikan hasil kepada negara secara menyeluruh.
“Pada masa sama, Belanjawan 2021 terus bertindak sebagai medium mensejahterakan rakyat dan menyokong sektor perniagaan menerusi langkah percukaian bagi memberi manfaat kepada golongan sasar,” ujarnya.
#Zafrul Aziz #Menteri Kewangan #Bank Negara Malaysia #BNM #LHDN #KDNK #bank #ekonomi #kerajaan #cukai #rakyat #pelaburan #menteri #integriti #COVID-19 #Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
;