Pelaksanaan kutipan VEP kenderaan asing dari Thailand tunggu kajian teknikal
Astro Awani
Ogos 21, 2017 17:09 MYT
Ogos 21, 2017 17:09 MYT
Kutipan Bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) terhadap kenderaan asing yang memasuki negara ini di sempadan Malaysia-Thailand hanya dapat dilaksanakan selepas kajian teknikal oleh Kementerian Pengangkutan selesai dijalankan.
Perkara itu dijelaskan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron, pihak teknikal masih dalam proses melakukan kajian teknikal terhadap pemasangan VEP di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand.
"Sekarang ini kita sedang mengkaji dari segi teknikal tentang pemasangan (VEP) tersebut dan pihak IT (Teknologi Maklumat) kita dan juga jawatan kuasa khas akan meneliti kaedah melaksanakannya.
"Kita akan berbincang juga dengan kerajaan negeri tentang tarikh dan masa pelaksanaan yang sesuai," ujar Nadzri.
Tambah beliau, selepas kajian itu selesai, JPJ dapat melaksanakan kutipan bayaran VEP berkenaan seperti yang sudah dilaksanakan di Johor Bahru.
JPJ juga akan berbincang dengan pihak kerajaan negeri untuk mengatur masa yang sesuai untuk membolehkan kutipan bayaran VEP itu dilaksanakan di Kedah yang bersempadan dengan Thailand.
Terdahulu, Nazri Siron mengiringi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merasmikan Majlis Penutup Program 1 Komuniti 1 JPJ Daerah Kota Setar 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz dekat Alor Setar, siang tadi.
Nadzri berkata jumlah kutipan bayaran VEP yang akan dilaksanakan itu nanti berkemungkinan sama dengan jumlah yang dikutip di Johor Bharu iaitu sebanyak RM20 bagi setiap kenderaan berpendaftaran asing yang memasuki negara.
Katanya lagi, sejak pelaksanaan kutipan VEP di pintu masuk Malaysia-Singapura di Johor Bahru sejak November tahun lalu sehingga Julai tahun ini telah berjaya mengutip kutipan mencecah RM9,106,900.