Pelaksanaan Identiti Digital Nasional berbeza dengan negara luar - Fahmi Fadzil

Hasimi Muhamad
Disember 3, 2023 12:30 MYT
Fahmi menegaskan, IDN yang dibangunkan di bawah Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS Bhd) tidak akan merakam cap jari atau iris pengguna. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Identiti Digital Nasional (IDN) di Malaysia disifatkan sebagai jauh berbeza dengan negara-negara lain seperti Kanada dan India, selain keselamatan data pengguna adalah terjamin.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan IDN yang dibangunkan di bawah Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS Bhd) tidak akan merakam cap jari atau iris pengguna.
Jelas beliau lagi, pelaksanaan IDN masih di peringkat permulaan, dengan jangkaan pada Mac tahun depan proses pendaftaran akan lebih rancak.
"... dan yang penting di sini dalam konteks Malaysia sistem adalah untuk memudahkan supaya rakyat Malaysia, hanya memerlukan satu kata laluan untuk masuk di semua aplikasi kerajaan.
"Ini bukan hanya memudahkan kita sebagai rakyat Malaysia sebagai pengguna tetapi menjimatkan pihak kerajaan.
"Kita tahu kalau nak bina satu modul untuk pendaftaran yang dikenali juga sebagai EKYC, kosnya tinggi. Jadi bagi pihak kerajaan ini juga satu langkah penjimatan," katanya ketika ditemui pemberita pada program Run Hack: Scam Alert 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Fahmi menambah, MIMOS sudah memulakan usaha memberi penjelasan dan penerangan mengenai penggunaan IDN kepada orang ramai dan kementeriannya turut ditugaskan untuk membantu.
Katanya, Jabatan Penerangan (JaPen) akan membantu MIMOS dalam memberikan penjelasan dan penerangan mengenai penggunaan IDN.
"Jadi insya-Allah dalam masa terdekat JaPen akan membantu MIMOS menerbitkan jawapan kepada set soalan-soalan lazim mengenainya, dan juga penjelasan (disampaikan) dalam bentuk video yang sangat ringkas," tambah beliau
Sebelum ini, KKD memberi jaminan pembangunan IDN tidak akan menjejaskan keselamatan data peribadi rakyat, malah menyatakan inisiatif diusahakan oleh MIMOS itu digunakan di beberapa negara seperti Estonia, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada 21 November lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan melantik pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) gunaan nasional, MIMOS sebagai agensi pelaksana program IDN dengan peruntukan awal sebanyak RM80 juta.
IDN atau digital ID adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
#Identiti Digital Nasional #keselamatan data peribadi #Anwar Ibrahim #mimos #IDN
;