Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 langkah tepat walau ada membantah - Shahril

Fareez Azman
Mac 24, 2022 16:07 MYT
Shahril menjelaskan kerajaan turut memberi kelonggaran kepada majikan yang amat terkesan antaranya sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS). - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 oleh kerajaan dilihat sebagai satu keputusan yang tepat dan sesuai.
Jelas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan ia tetap dilaksanakan meskipun sejak pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung perkara itu banyak pihak tidak bersetuju dengan pelaksanaannya.
"Semenjak pengumuman YAB Perdana Menteri tentang kenaikan gaji minima, banyak pihak yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah kenaikan ini akan ‘merencatkan pemulihan ekonomi’ dan harus disemak semula. Benarkan hujah ini?," tanya Shahril yang juga Ketua Penerangan UMNO dalam satu video dimuatnaik di laman sosial.
Ada pihak membantah
Meskipun Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Majikan Malaysia (MEF) membantahnya dengan mendakwa ia akan merencatkan pemulihan ekonomi, soal Shahril lagi, bilakah masa sesuai untuk melaksanakan inisiatif itu sekiranya alasan sama terus dimainkan?
"Soalnya, kalau setiap tahun FMM dan MEF keluar kenyataan ini, bila agaknya masa sesuai meningkatkan gaji minima?
"Malah kalau kita lihat gaji minimum yang dihasratkan RM1,500 berbanding tahun 2012 RM900, sebenarnya peningkatan sekitar 5.2 peratus setiap tahun.
"Bukanlah angka terlalu besar kalau kita lihat dalam kerangka yang adil, tapi dakwaan mereka ialah perkara ini peningkatan 25 peratus terlalu besar dan akan meningkatkan kos. Tidak adil bagi majikan atau pekilang. Betul atau tidak dakwaan ini?," katanya lagi.
Ada majikan tidak mampu, ada juga mampu
Mengulas lanjut, beliau mengakui ada majikan yang mampu dan ada juga sebaliknya untuk melaksanakan gaji minimum.
Namun jelasnya, kerajaan juga memberikan kelonggaran kepada majikan yang amat terkesan antaranya sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Korporasi (MEDAC).
"Berbalik kepada soalan adakah ini terlalu membebankan majikan-majikan yang besar? Kita kena sedar peningkatan gaji minimum 25 peratus tidak bermaksud 'total cost' gaji pekerja akan naik 25 peratus.
"Sebab dalam sesebuah syarikat bukan semua orang dibayar gaji minimum, bermakna bukan kos gaji sesebuah syarikat itu berkenaan gaji minimum. Malah gaji eksekutif semua lebih besar, mungkin kos gaji minimum ini mengambil kos 20-30 peratus daripada kos gaji sesebuah syarikat.
"Bermakna kalau gaji minimum naik 25 peratus, bukannya kos gaji semua naik 25 peratus tapi 25 peratus daripada 30 peratus," katanya lagi.
10 peratus kos pekerja dari kos keseluruhan
Malah laporan tahunan kebanyakan syarikat kata Shahril lagi, mendapati hanya 10 peratus kos pekerja daripada kos keseluruhan.
Tambahnya, keuntungan sesebuah syarikat juga boleh meningkat kepada 40 peratus dalam tempoh lima tahun.
Justeru, peningkatan kos satu peratus bagi gaji minimum pekerja dijangka dapat meringankan beban pekerja dalam situasi inflasi ketika ini.
"Kemudian bila kita tengok laporan tahunan kebanyakan syarikat, kos pekerja 10 peratus daripada total cost. Jadi 10 peratus daripada 7 hingga 8 peratus, kurang 1 peratus peningkatkan kos disebabkan gaji minimum ini.
"Sekali lagi saya bukan kata ini benar untuk semua syarikat, tetapi secara puratanya itulah, peningkatan 25 peratus gaji minimum ini barangkali akan meningkatkan kos satu peratus sahaja.
"Apabila kita lihat bahawa shareholder earning, atau profit company itu boleh naik 40 peratus dalam tempoh lima tahun, saya rasa peningkatan kos satu peratus itu berbaloi kerana ia membantu memberi gaji lebih bermaruah kepada rakyat Malaysia," jelasnya lagi.
Gaji minimum bukan alasan tingkatkan harga
Dalam pada itu, jelas Shahril lagi, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 itu bukan satu alasan yang boleh digunakan majikan untuk meningkatkan harga barangan di pasaran.
Jelasnya, majikan seharusnya lebih peka dengan situasi inflasi ketika ini yang berpunca dari faktor lain dan bukannya kos gaji pekerja.
"Tapi hujah paling asas adalah walaupun inflasi semakin mendatar sekarang, masih wujud saya kira amat wajar gaji minimum ini wajar dinaikkan ke RM1,500, peningkatan kos yang kecil ini seharusnya ditampung oleh syarikat dan disokong oleh semua.
"Janganlah kita gunakan perkara ini sebagai alasan untuk naikkan pula harga, sedangkan kita tahu inflasi yang wujud sekarang ni pun banyak berkaitan dengan faktor lain dan bukan upah pekerja.
"Biarlah kita menyokong perkara yang baik ini," jelasnya lagi.
#ismail sabri yaakob #Shahril Hamdan #gaji minimum #majikan
;