Pelaksanaan dasar kerajaan untuk membantu wanita perlu dipertingkat
Nuradilla Noorazam
November 21, 2016 16:13 MYT
November 21, 2016 16:13 MYT
Dasar kerajaan untuk membantu usahawan wanita melalui pemberian geran adalah usaha yang disambut baik setiap golongan masyarakat.
Namun menurut Pengerusi Forum Jaringan Perniagaan Wanita, Forum Ekonomi Islam Dunia, Datuk Dr Noraesah Mohamad, pelaksanaan dasar tersebut masih mempunyai kepincangan tersendiri.
Beliau berkata pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk melaksanakan dasar kerajaan ini masih tidak menjiwai atau memahami kepentingan sumbangan golongan wanita dalam sektor ekonomi.
"Jujur saya katakan dana yang diberikan kerajaan cukup malah terdapat banyak bantuan yang diberikan melalui dasar-dasar yang digubah sewaktu belanjawan.
"Namun apabila kita turun ke arah pelaksanaan, kita boleh lihat bahawa keadaan menjadi sukar buat mereka. Walaupun kerajaan membuat dasar, orang yang melaksanakannya tidak melakukan kerja dengan baik.
"Perkara ini terjadi apabila kita tidak menghayati keperluan sebenarnya dan sumbangan golongan wanita kepada ekonomi secara menyeluruh, apabila tiada pengantarabangsaan atau pendalaman dalam keperhatinan dalam pegawai yang memproses pinjaman," jelas Noraesah yang ditemui Astro AWANI dalam forum berkenaan di Gangneung, Korea Selatan.
Tambahnya apabila pelaksana dasar tersebut membuat scoreboard atau papan mata, jumlah penilaian yang diberikan kepada wanita adalah rendah.
"Masih ramai yang tidak percaya kepada kebolehan wanita dan kesungguhan mereka untuk menjalankan sesuatu usaha. Ada banyak dana yang diberikan kerajaan, bukan sahaja dalam belanjawan yang baru tetapi dana untuk ibu tunggal, wanita khas dan bawah bank Small-Medium Enterpreise (SME) juga ada.
"Tetapi wanita masih mempunyai masalah besar dalam mendapatkan akses dana ini. Masalah kedua yang dihadapi wanita adalah sebahagian dari mereka seolah-olah tidak yakin dengan sistem yang sedia ada dalam memberikan mereka bantuan apabila diperlukan. Seolah-olah mereka menjangka permohonan mereka akan ditolak," katanya.
Selain itu, jelasnya masih ramai wanita yang tidak tahu akan adanya geran-geran yang boleh membantu mereka.
Pada Belanjawan 2017 yang lalu, kerajaan mengumunkan geran khusus untuk usahawan wanita melalui skim baharu, TEMANITA,dibawah tekun, berjumlah lebih RM300 juta.
Selain itu, lebih RM2 billion bakal disalurkan untuk program memperkasakan ekonomi wanita seperti Women Career Comeback.