Pelaksanaan cukai rokok bakal beri kesan kepada kehadiran pelancong - Tun M
Astro Awani
Disember 3, 2020 16:41 MYT
Disember 3, 2020 16:41 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai rokok dan bahan tembakau di kawasan bebas cukai seperti Langkawi bakal memberi kesan kepada kehadiran pelancong pada masa hadapan.
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebagai sebuah pulau bebas cukai, Langkawi tidak dapat menikmati jualan rokok bebas cukai.
"Jika ini dilakukan industri pelancongan akan terjejas. Waktu ini pun sudah berkurangan sedangkan Langkawi kawasan hijau dan bebas daripada penularan wabak COVID-19," katanya dalam ucapan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pada Khamis.
Bekas Perdana Menteri itu turut menyatakan kebimbangan ekoran pelaksanaan terbabit yang bermula Januari lalu.
Pada masa yang sama, Dr Mahathir meminta kerajaan melonggarkan syarat dengan membenarkan pihak dari zon merah yang bebas dari COVID-19 melancong ke Langkawi.
"Di samping itu, disebabkan banyak tempat di daratan tidak bersih dan tidak bebas, maka pelancong tidak dapat datang dan ini merugikan Langkawi.
“Saya harap juga kerajaan beri fokus kepada pembangunan Langkawi dan tidak benarkan sekatan yang keras dan ketat,” ujarnya.