Pelaksanaan CGT masih spekulasi - Mohd Radzi
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 30, 2018 15:57 MYT
Oktober 30, 2018 15:57 MYT
Kerajaan hari ini menafikan dakwaan kononnya cukai ke atas keuntungan modal (CGT) akan dilaksanakan di negara ini bagi menambah pendapatan negara.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin menegaskan ia hanya desas-desus dan tiada pengumuman dibuat kerajaan berkenaan perkara tersebut.
“CGT adalah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan pelaksanaannya cuma desas-desus. CGT adalah antara mekanisme digunakan banyak negara dengan mengenakan cukai atas keuntungan modal seperti penjualan saham, rumah dan sebagainya.
“Dakwaan kononnya kerajaan akan melaksanakan CGT masih spekulasi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) sama ada kerajaan bercadang melaksanakan CGT dan kesannya kepada pelabur.
Pada 9 Oktober lalu, Tun Mahathir berkata pihak kerajaan mempunyai cadangan memperkenalkan cukai baru dan beliau tahu rakyat akan menentangnya.