Pelaksanaan caj VEP bagi kenderaan asing masuk ke negara ini ditangguh

Bernama
Disember 17, 2017 07:35 MYT
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata terdapat beberapa perkara sedang diperincikan yang memerlukan sedikit masa.- fotoBERNAMA
Caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang dijadual dilaksana bermula Januari depan ditangguhkan bagi penyeragaman pelaksanaan di laluan Malaysia-Singapura dan Malaysia-Thailand.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata terdapat beberapa perkara sedang diperincikan yang memerlukan sedikit masa sebelum caj bagi ken­deraan a­sing masuk ke negara ini dilaksanakan di selatan dan utara tanah air.
"VEP masih memerlukan sedikit masa kerana kita mahu pelaksanaan ini (VEP) diseragamkan di selatan dan utara.
"Kita masih dalam usaha memastikan sempadan kita mempunyai sistem yang selari. Kita tidak mahu VEP hanya di laluan ke Singapura tetapi tidak dilaksana di laluan ke Thailand," katanya.
Beliau yang juga Presiden MCA berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bersama masyarakat Paloh pada Ahad
Liow berkata VEP diyakini akan dilaksana tahun depan dan beliau akan mengumumkan tarikh pelaksanaan sistem itu selepas beberapa perkara dimuktamadkan.
-- BERNAMA
#caj #kenderaan #Liow Tiong Lai #Malaysia-Singapura #malaysia-thailand #pengangkutan #VEP
;