Pelaksanaan 'Bayaran Perkhidmatan Ekosistem' dikaji demi kurangkan pembalakan
Tan Su Lin
April 16, 2016 12:00 MYT
April 16, 2016 12:00 MYT
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sedang mengkaji pendekatan lain bagi menjana pendapatan daripada sumber hutan, tanpa melibatkan pembalakan.
Menurut Pengarah jabatan itu, Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman, ia antara rancangan pihak jabatan bagi mengurangkan aktiviti pembalakan pada masa depan dan pada masa yang sama mempelbagaikan kegunaan hutan.
Menyedari tentang kepentingan memelihara kawasan hijau dan tadahan air, Jabatan Perhutanan Negeri sedang mengkaji pelaksanaan bayaran perkhidmatan ekosistem (PES) bagi melestarikan sumber hutan.
"Sekarang ini kita lihat 'forest beyond timber', yang bermaksud Jabatan Perhutanan akan melihat pembalakan bukan sebagai salah satu punca utama hasil kepada kerajaan negeri.
"Kita akan melihat daripada segi eko-pelancongan, biodiversiti, perubatan, mungkin itu sumber pendapatan bagi pihak negeri pada masa hadapan. Maksudnya kita melihat dari segi perkhidmatan hutan," katanya dalam temubual Astro AWANI.
Tidak dinafikan sektor pembalakan adalah penting sebagai sumber pendapatan negeri Pahang.
Malah, menurut Mohd Paiz, kegiatan pembalakan juga dapat menggalakkan pertumbuhan hutan hujan tropika.
"Dari segi ekologi, pokok-pokok di hutan tumbuh bergantung kepada "jurang" dalam litupan hutan. Apabila ada "jurang" baru cahaya boleh masuk. Dari segi pembungaan, hutan tropika tidak mengikut waktu. Apabila berbunga, ia akan berbunga dengan banyak dan bergantung apabila ada cahaya, ia akan tumbuh.
"Jadi pembalakan ini adalah salah satu cara bagaimana mempelbagaikan hutan kita. Tetapi ada kriteria yang perlu dipatuhi. Contohnya, tidak menebang habis semua pokok-pokok dan apabila wujud kawasan lapang, kita tanam balik pokok," katanya.
Untuk rekod, kawasan berhutan di Pahang meliputi keluasan sekitar 2.5 juta hektar, merangkumi 54 peratus keluasan di negeri Pahang sendiri.
Daripada jumlah itu, 561,868 hektar tanah adalah berstatus hutan dilindungi sepenuhnya.
#laporan eksklusif
#Mohd Paiz Kamaruzaman
#pembalakan haram
#pengarah jabatan perhutanan negeri pahang
#tanah kerajaan
#Ulu Tembeling