Pelakon wanita Australia direman hingga Khamis kerana bawa lari anak - Polis
Bernama
Disember 22, 2015 23:30 MYT
Disember 22, 2015 23:30 MYT
Polis menahan seorang pelakon wanita Australia Eliza Szonert yang didakwa melarikan anak lelakinya daripada bekas suaminya Ashley Crick, di sini pada 10 Dis lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata pihaknya menahan pelakon itu ketika beliau menyerah diri di sebuah balai polis di Kuala Lumpur pada pukul 6 petang semalam untuk memberi keterangan.
Dia ditahan reman bermula hari ini sehingga Khamis untuk membantu siasatan, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Tajuddin berkata pihaknya juga akan mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak itu dalam masa terdekat.
Katanya, Szonert disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan anak dan Seksyen 339 Kanun Keseksaan kerana perbuatan menghalang pergerakan seseorang.
Pada 9 Dis lepas, menurut laporan The Sydney Morning Herald Szonert, yang ditemani dua lelaki, pergi ke sebuah restoran di sebuah pusat membeli-belah di sini untuk menemui Crick sebelum melarikan anak lelaki mereka.
Laporan itu menyebut Szonert datang ke Malaysia bersama anak itu untuk tinggal bersama Crick yang menetap dan bekerja di sini sebelum berlaku pertelingkahan antara mereka.
Menurut laporan akhbar Australia itu, Szonert difahamkan masih gagal pulang ke Australia bersama anak lelaki itu kerana Crick dipercayai menyimpan pasport Szonert.
Crick turut membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields pada malam kejadian.