Pelakon tumbuk teman wanita: Kertas siasatan diserah ke TPR

Sinar Harian
Julai 17, 2024 07:32 MYT
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kertas siasatan itu dikemukakan pada Jumaat lalu. - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Kertas siasatan kes pelakon tumbuk teman wanitanya dalam kejadian di Ara Damansara, di sini telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kertas siasatan itu dikemukakan pada Jumaat lalu.
"Kita sudah merekod keterangan pelakon terbabit selain mangsa serta kakaknya.
"Kertas siasatan telah pun diserah ke TPR Jumaat lepas untuk keputusan seterusnya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Minggu lalu, Shahrulnizam mengesahkan telah merekod keterangan pelakon terbabit pada 10 Julai lalu.
Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, kira-kira jam 3 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya.
Teman lelaki mangsa kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.
Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya itu sebelum memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#pelakon ditahan #tumbuk teman wanita #polis petaling jaya #kertas siasatan #Timbalan Pendakwa Raya