Pelakon mengaku salah muat naik kandungan sumbang, didenda RM30,000

Astro Awani
Oktober 4, 2022 10:18 MYT
Seorang pelakon terkenal tanah air didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memuat naik kandungan sumbang di akaun Instagram pada 18 Mac lalu. -Gambar hiasan
SEPANG: Seorang pelakon terkenal tanah air didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memuat naik kandungan sumbang di akaun Instagram pada 18 Mac lalu.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noorhisham Mohd Jaafar pada Selasa.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh berusia 36 tahun yang juga seorang model itu sebelum ini mencetus kontroversi apabila didakwa berkongsi video 'babak panas' bersama seorang pelakon wanita sebagai 'teaser' sebuah drama bersiri.
Selain menerima kecaman warga maya, tindakannya turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Agama Datuk Idris Ahmad, dan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Dia kemudian tampil memohon maaf dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam memuat naik kandungan di media sosial bagi mengelak kontroversi berulang.
#muat naik kandungan sumbang #Mahkamah Sesyen #Noorhisham Mohd Jaafar #didenda RM30 000
;