Pelakon Lan Zailan meninggal dunia
Astro Awani
Disember 18, 2024 07:45 MYT
Disember 18, 2024 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon Lan Zailan disahkan meninggal dunia akibat kanser kira-kira pukul 4.21 pagi Khamis di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Berita sedih itu dikongsi sendiri oleh isteri Allahyarham, Ruby Sara Omar, 51.
“Saya dan anak-anak berada di sisi Allahyarham ketika dia menghembuskan nafas terakhir.
“Mewakili suami, saya minta maaf andai Allahyarham ada salah silap, halalkan makan minumnya.
“Semalam ketika dia nazak, saya ada pesan supaya dia maafkan semua orang dan dia sudah mengangguk. Jadi Lan juga sudah maafkan semua,” katanya kepada SInar Harian.
Sementara itu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian arwah ke negeri abadi namun kita redho atas kehendak ilahi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Seniman menyifatkan industri kreatif kehilangan seorang pelakon yang sangat berbakat buat tanah air.
Kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
Sebelum ini, Lan, atau nama penuhnya Zailan Kamaruddin, 66, dimasukkan ke PPUM bagi menjalani rawatan selepas disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat.
Pelakon yang pernah membintangi naskhah terkenal seperti Gerak Khas, Zaharul vs Zarina, Takdir Itu Milik Aku, Bini-Biniku Gangster dimasukkan ke PPUM akibat batuk berpanjangan selepas keadaannya tidak berubah walaupun sudah mendapatkan rawatan di klinik sejak Oktober lalu.
Allahyarham merupakan seorang pelakon drama dan filem di Malaysia sejak tahun 1980 sehingga kini dan telah berlakon lebih daripada 10 filem dan puluhan drama dan telefilem di Malaysia.
Jenazah kini berada PPUM untuk dimandikan dan dibawa ke Masjid As Salam Puchong Perdana untuk solat jenazah sebelum dijangka dikebumikan Tanah Perkuburan Islam USJ 22.