Pelakon dan penyair Pyanhabib Rahman meninggal dunia
Firdaus Azil
Jun 4, 2024 22:02 MYT
Jun 4, 2024 22:02 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyair versatil tanah air, Mohd Supyan Abdul Rahman, yang lebih dikenali sebagai Pyanhabib Rahman, dilaporkan telah meninggal dunia di kediamannya di AU4 Keramat, pada Selasa malam.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Mohd Khair Ngadiron ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.
“Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 930 malam tadi. Ketika ini jenazah sedang diuruskan di rumahnya. Saya kini dalam perjalanan ke balai polis untuk melaporkan kematian,” katanya lagi.
Sementara itu Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Najwan Halimi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Anggerik turut memaklumkan berita sedih itu di platform X nya.
“Dukacita dimaklumkan seniman Pyanhabib Rahman baru saja menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Hulu Kelang sebentar tadi. Sesungguhnya kita datang dari Allah, dan kepada Allah jua kita akan kembali. Al-Fatehah,” katanya lagi.
Difahamkan, jenazah akan dimandikan di Masjid As Sobihin di Lembah Keramat, Ampang pada jam 9 pagi esok, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 jam 10 pagi.