Pelakon bergelar Datuk tampar polis, tendang orang awam di Kota Damansara ditahan

Assim Hassan
Januari 11, 2018 15:55 MYT
Tambah Mohd Zani, pihaknya juga akan melakukan saringan ujian air kencing bagi mengenal pasti jika pelakon itu berada di bawah pengaruh dadah atau tidak. - Gambar fail
Seorang pelakon dan pengarah yang bergelar Datuk, ditahan selepas dipercayai menampar seorang anggota polis dan menendang orang awam ketika berada di kaunter trafik Balai Polis Kota Damansara di sini, ini.
Pelakon yang berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.20 petang bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan mengenai kejadian itu
Menurut Mohd Zani, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Setakat ini, kita menahan pelakon itu untuk membantu siasatan. Sekiranya siasatan tidak lengkap, kita akan reman beliau esok pagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohd Zani, pihaknya juga akan melakukan saringan ujian air kencing bagi mengenal pasti jika pelakon itu berada di bawah pengaruh dadah atau tidak.
Petang ini, suami kepada pelakon wanita terkenal itu datang ke balai polis tersebut bagi membuat laporan berhubung satu kemalangan jalan raya.
Tambah Mohd Zani, pelakon itu secara tiba-tiba menampar muka anggota yang menerima aduannya.
Pelakon itu juga menendang orang awam yang berada dalam balai sebelum ditahan pihak polis.
#Mohd Zani #Mohd Zani Che Din #orang awam #pelakon #polis #tampar #tendang
;