Pelakon Australia, Eliza Szonert dibebas

Bernama
Disember 24, 2015 11:13 MYT
Szonert (kanan) yang ditemani dua lelaki ke sebuah pusat membeli-belah untuk menemui Crick sebelum ini didakwa melarikan anak lelakinya. - Gambar YouTube
Pelakon Australia, Eliza Szonert yang didakwa melarikan anak lelakinya daripada bekas suaminya pada 10 Dis lalu dibebaskan semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Shahrul Othman Mansor berkata Szonert dibebaskan atas nasihat timbalan pendakwa raya (DPP) selepas meneliti kertas siasatan.
"Siasatan mendapati masalah timbul apabila suaminya Ashley Crick membuat laporan polis sedangkan pihak mahkamah di Australia sebelum ini telah mengeluarkan arahan yang hak penjagaan anak mereka adalah secara bersama.
"Rasa tidak puas hati suaminya yang menyebabkan perkara ini berbangkit lagi sedangkan perkara ini telah selesai di Australia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Pelakon wanita Australia direman hingga Khamis kerana bawa lari anak - Polis
BACA: Pelakon Australia diburu untuk bantu siasatan kes bawa lari anak
Beliau berkata DPP turut mengesyorkan supaya kedua-dua pihak membuat akujanji mengenai hak penjagaan anak mereka di kedutaan Australia di Malaysia sebagai menurut perintah mahkamah Australia.
"Keutamaan ketika ini adalah supaya anak ini perlu diberi perlindungan dan tindakan selanjutnya kami serahkan kepada peguam kedua-dua pihak," katanya.
Pelakon wanita itu ditahan ketika beliau menyerah diri di sebuah balai polis di Kuala Lumpur pada Isnin lalu berikutan Crick membuat laporan polis terhadap Szonert kononnya melarikan anak lelaki mereka di sebuah pusat beli-belah di sini pada 9 Dis lalu.
#ashley crick #Australia #eliza szonert #Shahrul Othman Mansor