Pelakon Australia diburu untuk bantu siasatan kes bawa lari anak
Bernama
Disember 15, 2015 20:27 MYT
Disember 15, 2015 20:27 MYT
Pihak polis sedang mengesan seorang pelakon wanita Australia Eliza Szonert yang didakwa melarikan anak lelakinya daripada bekas suaminya Ashley Crick di sini Khamis lepas.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata wanita itu berjanji untuk hadir ke balai polis untuk memberi keterangan semalam, namun sehingga hari ini dia tidak hadir.
"Dalam masa terdekat ini, kami akan mencari dia untuk membantu siasatan. Jangan lari atau bersembunyi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Kempen Pencegahan Jenayah dan Derma Darah di sini hari ini.
Law yakin wanita tersebut masih berada dalam negara ini dan meminta Suruhanjaya Tinggi Australia untuk turut membantu kes berkenaan.
Rabu lepas sebuah portal berita (The Malaysian Insider) memetik laporan The Sydney Morning Herald mengenai Szonert yang ditemani dua lelaki pergi ke sebuah restoran di sebuah pusat membeli-belah di sini untuk menemui Crick sebelum melarikan anak lelakinya.
Laporan itu menyebut Szonert datang ke Malaysia bersama anaknya untuk tinggal bersama Crick yang menetap dan bekerja di sini sebelum berlaku pertelingkahan antara mereka.
Menurut laporan akhbar Australia itu, Szonert difahamkan masih gagal pulang ke Australia bersama anak lelakinya kerana Crick dipercayai menyimpan pasport bekas isterinya itu.
Crick turut membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields pada malam kejadian.