Pelajar yang tidak hadir SPM perlu diberi peluang kedua melalui TVET - TPM

Nazri Kahar
Mei 30, 2024 23:57 MYT
Ahmad Zahid juga mahukan 10,160 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak hadir peperiksaan itu untuk terus memohon untuk memasuki bidang TVET. - Foto: Fariz Iswadi
BEIJING: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan cemerlang supaya menimbangkan untuk memilih aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama untuk melanjutan pelajaran.
Timbalan Perdana Menteri itu juga mahukan 10,160 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak hadir peperiksaan itu untuk terus memohon untuk memasuki bidang TVET
"TVET terima pelajar yang gagal dan tidak mengambil peperiksaan SPM itu. Ini bukan bererti ia pilihan kedua atau ketiga tetapi peluang kedua untuk pelajar," kata beliau.
Tambahnya, TVET dilihat sesuai untuk pelajar kurang cemerlang serta calon SPM tidak hadir peperiksaan kerana ia menyediakan 70 peratus latihan di bengkel serta makmal manakala bakinya pembelajaran dalam kelas.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman, Memorandum Perjanjian dan Surat Niat berkaitan TVET, di Beijing, China, pada Khamis.
Keseluruhan dokumen berkenaan dimeterai Universiti Kuala Lumpur bersama Universiti Southwest Jiaotong; Universiti Nantong; Liuzhou Railway Vocational and Technical College dan Alibaba Cloud bagi memperkasa kerjasama strategik berkaitan teknologi kenderaan elektrik (EV) dan kenderan tenaga boleh diperbaharui (REV).
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Majlis TVET Negara sedang merangka kempen kesedaran bagi memberi penjelasan holistik mengenai skop pendidikan bidang berkenaan, selari saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menyeru ibu bapa menyahut seruan ini dengan menggalakkan anak-anak memasuki bidang TVET .
Ahmad Zahid mahu promosi dan publisiti TVET diperhebatkan sesuai dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kerjasama pihak media.
Ini kerana platform media muncul sebagai medium terbaik untuk mengetengah serta mempromosikan TVET sebagai bidang yang menjadi pilihan pertama untuk rakyat melanjutkan pelajaran serta menceburi kerjaya dalam TVET.
Sementara itu , Ahmad Zahid juga berterima kasih dan menghargai peranan petugas media, terutama dalam memberi liputan sepanjang lawatan rasmi sulungnya ke China selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Disember lalu, mulai 22 Mei hingga Sabtu ini.
#Ahmad Zahid Hamidi #TVET #lepasan spm #pendidikan
;