Pelajar wanita UMT maut digilis bas

Bernama
April 29, 2017 10:09 MYT
Mangsa dilaporkan dalam perjalanan dari Dungun menuju ke kampus setelah pulang menziarahi keluarga jam 5 petang semalam. - Gambar hiasan
Seorang penuntut wanita Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dalam perjalanan pulang ke kampus menunggang motosikal, maut setelah digilis sebuah bas di KM15, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Rhu Rendang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.20 petang itu mangsa Amira Farhana Abdul Rahman, 24, dikatakan gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya, apabila tiba di persimpangan lampu isyarat lalu terjatuh sebelum digilis bas tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri Supt Abd Razak Hasan ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan menurutnya mangsa meninggal di tempat kejadian ekoran cedera parah di kepala.
Tambahnya mayat pelajar jurusan Sarjana Muda Sains Makanan (Teknologi Makanan) itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat.
Sementara itu dalam kenyataan, Naib Canselor UMT Prof Datuk Nor Aeini Mokhtar berkata UMT amat berdukacita dengan kejadian itu dan telah menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa.
Mangsa dilaporkan dalam perjalanan dari Dungun menuju ke kampus setelah pulang menziarahi keluarga jam 5 petang semalam.
"UMT menghulurkan sumbangan RM1,000 dari Tabung Khairat Kematian bagi urusan pengurusan jenazah dan pengebumian, RM1,000 sumbangan Tabung Kebajikan Pelajar dan RM10,000 insurans kematian akibat kemalangan.
"Pejabat Menteri Besar Terengganu melalui Yayasan Terengganu turut melahirkan rasa dukacita dengan insiden yang menimpa arwah dan menghulurkan sejumlah wang bantuan kepada keluarga mangsa," menurut kenyataan itu.
Nor Aieni berkata mangsa adalah pelajar yang cemerlang dalam akademik dan aktif melakukan aktiviti sukarelawan.
-- BERNAMA
#Hospital #kemalangan #Marang #maut #mayat #pelajar #umt
;