Pelajar vokasional bukan lepasan kelas dua - Ismail Sabri
Astro Awani
April 27, 2017 21:09 MYT
April 27, 2017 21:09 MYT
Persepsi masyarakat terhadap pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) sebagai pilihan kedua perlu dikikis kerana kemahiran yang diperoleh itu hakikatnya menjanjikan masa depan yang lebih baik buat mereka.
Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pendekatan yang diambil Jerman perlu dijadikan panduan apabila masyarakatnya lebih menumpukan kepada bidang TVET yang ternyata menyediakan banyak peluang pekerjaan.
Menurutnya,kerajaan menggalakkan pelajar mengambil bidang kemahiran sebagai subjek penting namun persepsi ibu bapa masih belum berubah.
Katanya, negara maju seperti Jerman meletakkan pendidikan TVET sebagai pilihan utama tetapi kita masih menganggap itu sebagai pilihan kedua selepas gagal ke universiti.
"Sehingga kini ibu bapa masih mahukan anak-anak mereka masuk universiti bukan berasaskan teknikal sedangkan di negara maju seperti Jerman telah lama menjadikan vokasional dan teknikal itu sebagai pilihan utama.
"Namun di sini ada yang menganggap ia pilihan kedua setelah gagal memohon universiti berasaskan akademik. Kita perlu ubah persepsi itu dan di bawah kementerian ini kita ada UniKL, Giat Mara dan banyak lagi yang mana kita hendak lahirkan pekerja mahir.
"Apabila ada kemahiran mereka akan dapat gaji yang lebih besar," kata Ismail Sabri pada sesi dialog dalam program bicara komuniti Transformasi Nasional 2050 (TN50) Zon Timur di Kuala Nerus.
Program yang disertai seramai 432 golongan muda yang terdiri daripada pemimpin pelajar, pertubuhan bukan kerajaan serta usahawan industri kecil dan sederhana itu merupakan salah satu pendekatan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah untuk mendapatkan aspirasi belia luar bandar ke arah penyediaan dasar baharu TN50.
Sesi bicara selama hampir tiga jam itu dikendalikan oleh Zizan Razak dan Abu Talib Husin sebagai moderator bersama ikon belia iaitu Ummi Nazeera dan Mira Filzah.
Kementerian juga akan mengumpul setiap aspirasi dan harapan golongan muda luar bandar bagi dijadikan panduan untuk penyediaan dasar luar bandar kementerian tersebut yang dijangka dibentangkan ogos depan.
Sesi bicara itu secara tidak langsung menjadi platform untuk mengumpulkan idea serta pandangan bernas golongan sasar.
Pada masa ini, kurang 30 peratus penduduk menetap di luar bandar dan sasaran kementerian menarik orang bandar untuk berhijrah ke luar bandar.
#ismail sabri yaakob
#Jerman
#MARA
#pelajar
#pendidikan
#Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional
#TN50
#Transformasi Nasional 2050
#TVET
#usahawan