Pelajar UUM maut kemalangan kereta bertembung lori

Adie Sufian Zulkefli
Mei 20, 2019 00:56 MYT
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. - Foto Astro AWANI
Seorang mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) maut dalam kemalangan jalan raya pada petang Isnin.
Dalam kejadian jam 2.58 petang kereta jenis Produa Kenari yang dipandu mangsa dikatakan terbabas lalu berlanggar dengan sebuah lori tanah berat satu tan yang datang dari arah bertentangan di Jalan Bukit Kachi Changlun.
Menurut Pegawai Operasi Bomba Kubang Pasu, PBK II Shamsari Ibrahim sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dalam keadaan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
Katanya Bomba terpaksa mengambil masa lebih 20 minit untuk memotong bahagian bumbung kereta bagi mengeluarkan mayat mangsa.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Mayat mangsa kemudian di hantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.
Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, mangsa berusia 22 tahun merupakan mahasiswa UUM sedang dalam perjalanan pulang dari rumahnya di Sungai Petani ke universiti.
Polis kini sedang menyiasat punca kejadian dan pemandu lori telah ditahan untuk direkod keterangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Bomba Kubang Pasu #Hospital Jitra #Jalan Bukit Kachi Changlun #kemalangan jalan raya #Mahasiswa Universiti Utara Malaysia #Mahasiswa UUM #Polis Daerah Kubang Pasu #Produa Kenari
;