Pelajar UUM ditemukan mati di bilik asrama, dipercayai terkena kejutan elektrik

Astro Awani
Mei 24, 2022 17:20 MYT
Vinosiny Sivakumar ditemukan mati di dalam bilik asramanya, dipercayai akibat terkena kejutan elektrik pada Sabtu. - Gambar Facebook
ALOR SETAR: Seorang pelajar tahun dua perakaunan, Universiti Utara Malaysia (UUM) ditemukan mati di dalam bilik asramanya, dipercayai akibat terkena kejutan elektrik pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Rodzi Abu Hassan berkata, setakat Selasa, kematian Vinosiny Sivakumar diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
"Kita masih lagi menunggu keputusan bedah siasat dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar katanya di sini, pada Selasa.
Sementara itu laporan MalaysiaKini yang memetik bapa mangsa, R Sivakumar, 65, berkata, mangsa baru seminggu kembali ke kampus selepas belajar secara dalam talian sejak pandemik COVID-19 melanda.
Menurutnya, ketika pihak pengurusan UUM menghubunginya pada kira-kira pukul 3 petang Sabtu lalu, dia hanya dimaklumkan yang mangsa jatuh dan tidak sedarkan diri.
"Mereka tidak menjelaskan secara terperinci dan tidak beritahu saya apa yang sebenarnya terjadi. Selepas saya tanya beberapa kali sama ada masih ada petunjuk yang anak saya masih hidup atau tidak, baru mereka beritahu dia telah meninggal dunia," katanya.
Sivakumar menambah, dia juga tidak dapat memasuki bilik asramanya untuk memeriksa kerana sudah ditutup.
"Polis hanya beri dompet dan kad pengenalannya kepada saya," katanya lagi.
Menurutnya, mangsa yang berusia 20 tahun itu dikebumikan di Klang pada Isnin.
Tambah Sivakumar, dia mahu mendapatkan kebenaran di sebalik kematian anaknya, memandangkan tiada sebarang penerangan diberi oleh pihak pengurusan UUM dan polis.
Dia juga mendakwa terdapat kesan terbakar yang jelas di muka dan tangan kanan anaknya, serta dua jarinya berwarna ungu kehitaman ketika doktor menunjukkan mayat mendiang kepadanya di hospital.
"Saya cukup kesal dengan pihak universiti yang tidak menyatakan dengan jelas ketika mereka maklumkan perkara ini kepada saya. Tragedi sudah terjadi, saya hanya inginkan kebenaran. Saya nak tahu punca (kejutan elektrik). Saya tak mahu sesuatu yang tak betul terjadi.
"Saya tak mahu perkara sama menimpa pelajar lain. Saya pasti ada sesuatu yang tak kena dengan kemudahan di universiti, tapi adakah pihak universiti akan mengaku?" soalnya lagi.
#universiti utara malaysia #kejutan elektrik #mati mengejut #Polis Diraja Malaysia
;