Pelajar UTP catat rekod MBR dengan 30,050 'stick bomb'

Astro Awani
September 26, 2018 05:57 MYT
Pengunjung menyaksikan pertunjukan 'stick bomb' yang berjaya memecah rekod MBR di Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar, 26 Sept, 2018. --fotoBERNAMA
Seramai 44 orang mahasiswa Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi penggunaan 30,050 'stick bomb' dengan binaan sepanjang 703.2 meter.
Bagi mencatat rekod tersebut, syarat yang ditetapkan MBR ialah, pelajar perlu menggunakan sekurang-kurangnya 20,000 bilah kayu dengan binaan anyaman sepanjang 500 meter, menjadikan ia percubaan kali pertama di Malaysia.
Menurut pengurus projek, Nur Shamilah Shadun Zubiar, 20 tahun, persediaan untuk mencipta rekod itu bermula sejak Januari lalu, di samping cabaran utama iaitu cuaca yang boleh merencatkan pergerakan stick bomb tersebut.
Katanya, stick bomb yang dihasilkan bersama rakan mahasiswa tahun kedua dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal itu mengambil masa tiga jam untuk dianyam dan memerlukan masa 10 minit untuk ‘dilentikkan’.
"Kami pilih stick bomb kerana ia ada kaitan dengan istilah kejuruteraan kimia, iaitu berkaitan tenaga elastik, tenaga kinetik, dan sebagainya.
"Kami hendak tunjukkan yang fizik adalah sesuatu yang mudah dan menyeronokkan," katanya kepada pemberita di Foyer Kompleks Canselori UTP di sini pada Rabu.
Stick bomb atau bilah kayu aiskrim itu dianyam menjadi bentuk rantaian ‘x’ bagi menghasilkan tindakan berantai, mempamerkan prinsip asas fizik berkaitan tenaga kinetik.
Ujarnya, mereka berlatih sekurang-kurangnya 30 kali sebelum dapat mencipta rekod tersebut dan setiap kali berlatih akan menggunakan kayu yang sama, di samping berhadapan dengan cabaran faktor kayu yang sensitif terhadap cuaca.
"Antara cabaran utama dalam menghasilkan stick bomb ini ialah memastikan setiap peserta mahir menganyam kayu ini.
"Malah kayu ini juga sensitif terhadap kelembapan dan tidak elastik jika ia dipakai banyak kali," kata Nur Shamilah.
Pengesahan rekod diumumkan wakil MBR, Lee Pooi Leng selepas rantaian anyaman bilah kayu itu berjaya dilentik meskipun beberapa kali berdepan masalah teknikal.
Program ini juga dianjurkan oleh American Society of Mechanical Engineers UTP dengan kerjasama Prof Madya Dr Mokhtar Awang.
Sementara itu, seorang pelajar yang mengambil bahagian dalam rekod tersebut, Dinesh Roy Brian, berkata kejayaan rekod itu membantu dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran komunikasi dan teknikal.
"Kerjasama dalam pasukan kami memang terbaik. Walaupun kami semua ada kelas pada masa yang berbeza, namun semua berusaha untuk datang buat latihan.
"Sememangnya kami telah berusaha untuk buat yang terbaik pada hari ini," katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, mereka akan membuat percubaan rekod baharu tahun hadapan dengan jumlah 40,000 hingga 50,000 stick bomb.
#fizik #kayu aiskrim #kejuruteraan kimia #kejuruteraan mekanikal #Malaysia Book of Records #MBR #pelajar universiti #Rekod #stick bombs #Universiti Teknologi PETRONAS #UTP
;