Pelajar UTM teruja dapat kembali ke kampus
Astro Awani
Oktober 15, 2021 11:56 MYT
Oktober 15, 2021 11:56 MYT
JOHOR BAHRU: Seramai 6,000 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) teruja pulang ke kampus bagi sesi pembelajaran secara fizikal dan bersemuka pada Jumaat.
Namun, kemasukan dibuat secara berperingkat dengan fasa pertama bermula Jumaat hingga 18 Oktober melibatkan 948 pelajar.
Rata-rata pelajar yang ditemui melahirkan rasa seronok dan tidak sabar untuk meneruskan sesi pembelajaran secara normal.
Malah kesemua pelajar yang dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19.
Pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, Amir Hakim Ahmed Mahir bergerak seawal jam 4 pagi dari Kuala Lumpur.
Dia berharap sesi pembelajaran secara fizikal berjalan lancar kerana lebih banyak ilmu dapat diperolehi berbanding pembelajaran secara atas talian.
"Saya bergerak jam 4.30 pagi kerana mahu elak daripada kesesakan lalu lintas.
"Saya harap dapat belajar tempat kondusif kerana ia lebih senang untuk memberi fokus berbanding dengan belajar dalam talian," katanya.
Bafi S. Shatiskumar pula, belajar secara fizikal lebih mudah difahami berbanding dalam talian.
"Susah sikit belajar secara dalam talian, saya lebih suka bersemuka," katanya.
Pelajar ini tiba seawal jam 9 pagi selepas diperiksa, pelajar perlu membuat ujian RTK air liur.
Jika keputusan negatif, mereka akan terus ditempatkan di kolej kediaman.
Namun jika positif mereka akan ditempatkan di pusat kuarantin yang dibuka dalam UTM.
Sementara itu, Pengetua Kolej Tun Fatimah UTM, Noor Mala Ibrahim berkata, fasa pertama melibatkan pelajar dari Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
"Dari segi kolej buat masa ini kita aturkan pelajar tinggal secara berseorangan di bilik walaupun bilik berdua kita masukkan seorang dahulu," katanya.
Fasa kedua kemasukan dibuat pada 25 hingga 28 Oktober.
Manakala fasa ketiga kemasukan pelajar pada 8 hingga 11 November depan.