JOHOR BAHRU: Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Mohd Irfan Hakimi Azhar yang hilang sejak Jumaat lepas, ditemukan di Terminal Bas Larkin Sentral di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pelajar berusia 22 tahun itu telah dibawa pulang ke rumahnya di Selangor oleh bapanya.

"Pelajar itu ditemukan seorang diri pada pukul 5 petang, dalam keadaan sihat. Bapanya telah bawa pelajar itu balik ke rumah di Selangor semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Pelajar UPM dipercayai hilang sejak Jumaat lalu

Rabu lepas, media melaporkan polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan Mohd Irfan yang menginap di asrama pelajar di UPM, Serdang, yang dilaporkan hilang dari universiti itu sejak Jumaat.

-- BERNAMA