Pelajar UPM dipercayai hilang sejak Jumaat lalu
Umavathi Ramayah
Januari 18, 2023 18:37 MYT
Januari 18, 2023 18:37 MYT
SERDANG: Seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
Pelajar semester pertama jurusan Pengajian Pengguna, Mohd Irfan Hakimi Azhar itu kali terakhir ditemui rakan sebiliknya ketika dia pergi menunaikan solat Jumaat menaiki sebuah motosikal Yamaha, pada hari berkenaan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, berdasarkan laporan, bapa mangsa cuba menghubunginya kira-kira pukul 9 pagi Jumaat lalu untuk bertanya khabar namun panggilannya itu tidak dijawab.
"Bimbang sesuatu tidak kena, tiga hari kemudian (Isnin), bapa mangsa menghubungi adiknya yang tinggal berhampiran UPM untuk mencari mangsa di tempat penginapan.
"Apabila tiba di UPM, adik pengadu telah menghubungi rakan sebilik mangsa dan dimaklumkan kali terakhir mangsa dilihat adalah semasa dia pergi ke solat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Anbalagan menambah, mangsa yang berusia 22 tahun itu masih tidak ditemui setakat ini dan kes itu diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.
Katanya, Mohd Irfan Hakimi berkulit cerah, memakai cermin mata, berbadan kurus dengan berat kira-kira 65 kilogram (kg) serta berketinggian 171 sentimeter (sm).
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Kipli Rajak di talian 019-6177188 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.