Pelajar universiti lemas, terjatuh tasik ketika mendaki
Siti Nur Aqilla Omar
November 6, 2021 15:44 MYT
November 6, 2021 15:44 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang pendaki ditemui lemas selepas terjatuh di Tasik Tiga Beradik, Plentong di sini, ketika mendaki di kawasan itu bersama 40 rakannya, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Saiful Bahri Safar berkata, mangsa dikenali sebagai Mohamad Zarif Isyraf Zulkifli, 20, yang juga pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Pasir Gudang.
Katanya, mayat mangsa ditemui pada pukul 12.55 tengah hari di kedalaman 3.5 meter dalam jarak sembilan meter dari lokasi terakhir mangsa.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak membuat pencarian dan selaman dalam radius 50 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan.
“Mangsa telah dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Menurut Saiful Bahri, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 11.20 pagi tadi.
Beliau berkata, mangsa dipercayai melakukan aktiviti mendaki bersama 40 orang rakannya.
"Mangsa dipercayai melakukan aktiviti mendaki di kawasan tersebut. Ketika hendak melintasi tasik dengan melalui tebing tasik, mangsa telah terjatuh.
"Rakan mangsa cuba membantu dengan menarik mangsa, namun kehabisan tenaga. Pegangan tangan mangsa telah terlepas dari pegangan tangan rakan mangsa hingga menyebabkan mangsa tenggelam ke dasar tasik," kata Saiful Bahri lagi.