Pelajar UniSZA maut motosikal bertembung ambulans depan hospital

Sinar Harian
Jun 13, 2024 05:30 MYT
Seorang pelajar UniSZA maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah ambulans di hadapan Hospital Sultanah Nur Zahirah pada Rabu. - Foto ihsan polis/Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar perempuan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah ambulans di lampu isyarat hadapan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Umie Elysha Lyana Basharuddin, 22, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ pada Khamis.
Menurutnya, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang Rabu itu melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas dengan sebuah ambulans.
"Ambulans itu bergerak dari arah Batu Buruk menghala ke HSNZ manakala mangsa dari arah Bulatan Ladang menghala balik ke rumahnya di Manir.
"Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa sedang bergerak lurus dari arah Bulatan Ladang hendak menuju balik ke rumahnya di Manir.
"Apabila sampai di lampu isyarat hadapan HSNZ, tiba-tiba datang sebuah ambulans dari arah bertentangan membelok ke kanan untuk masuk ke hospital tersebut dan kemudian bertembung dengan mangsa.
"Akibat daripada itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan dan telah dibawa menaiki ambulans ke HSNZ manakala pemandu ambulans pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Azli berkata, mangsa yang menerima rawatan di wad kecemasan HSNZ disahkan meninggal dunia pada jam 10.38 pagi semalam.
Katanya, pegawai perubatan yang merawat mangsa mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Sinar Harian
#pelajar UniSZA maut #motosikal bertembung ambulans #Kuala Terengganu #Hospital Sultanah Nur Zahirah
;