Padah membuat laporan palsu berhubung dirinya diculik oleh tiga individu yang tidak dikenali seorang remaja bakal berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata hasil siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati penuntut perempuan Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang telah mereka cerita dirinya diculik ketika berada di depan rumah sewanya di Pasir Gudang pada malam Jumaat lalu.

“Perbuatan ini bukan sahaja satu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 ataupun kedua-duanya sekali tetapi yang penting sekali dalam perkara ini saya ingin memaklumkan bahawa perbuatan ini telah menyebabkan kita telah mengerakkan begitu banyak jentera polis maksudnya sumber manusia masa logistik tenaga di serata tempat bagi mengesan kenderaan ini dan bagi menyelamatkan mangsa-mangsa ini.” ujar ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah dan satu sidang media di Kuala Terengganu.

Katanya penuntut terbabit itu bertindak demikian kerana gagal menyiapkan tugasan yang diberikan.


Hasil siasatan yang dijalankan malam tadi, polis mendapati kenyataan yang dilakukan pelajar yang berusia 20 tahun itu bercanggah dan mangsa kemudianya mengaku laporan yang dibuat adalah palsu.

Pelajar berkenaan berbuat demikian untuk menipu rakan-rakannya namun didesak ibunya untuk membuat laporan polis selepas memberitahu dia diculik.

Katanya perbuatan remaja ini seperti telah dirancang dari awal ekoran beberapa barang milik mangsa seperti beg kuliah serta kunci rumah masih ada pada motorsikal terbabit dan membuat rakannya percaya dirinya telah dilarikan.


“Sepatutnya dia pergi kelas, beg dia tidak ambil ada dalam motor kunci pun ada pada motor jadi kawan-kawan dia pun percaya juga memang betul dia diculik berdasar kan kenyataan itu kita pun yakin beliau diculik pada mulanya tapi apabila kita telah melaksanakan operasi-operasi khas di sempadan-sempadan pada malam semalam beliau mengatakan semuanya adalah rekaan semata-mata.” tambahnya lagi.

Kes yang menjadi viral di laman Facebook dan Whatsapp itu menyebabkan PDRM terpaksa membuat operasi besar-besaran di lima negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis.

Remaja yang berasal dari Ampang, Selangor itu mendakwa berjaya melarikan diri selepas 10 jam dilarikan dari Johor Baharu ketika lori yang membawanya berhenti untuk mengisi minyak di Dungun, awal pagi semalam.

Mangsa meminta bantuan seorang penjual akhbar sebelum seorang penduduk membantu membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.

Dalam laporannya remaja berkenaan memaklumkan dia bertindak melarikan diri dalam keadaan ketakutan dan gagal mengecam nombor pendaftaran lori terbabit.

Beliau mendakwa suspek terdiri daripada tiga lelaki Melayu manakala kesemua mangsa akan dibawa ke Kelantan sebelum dibawa masuk ke negara jiran.

Remaja terbabit mendakwa turut diculik bersamanya ialah tujuh lagi kanak-kanak berbangsa Cina, India serta dua berbangsa Melayu.

Remaja terbabit diserahkan kepada keluarganya sehingga siasatan penipuan itu selesai dan akan didakwa dalam masa terdekat.