Pelajar tingkatan tiga maut digilis lori, rakan cedera
Astro Awani
Mei 19, 2018 16:36 MYT
Mei 19, 2018 16:36 MYT
Seorang pelajar Tingkatan Tiga maut digilis sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Kampung Selamat, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Dalam kejadian jam 10.15 malam Sabtu, mangsa, Wan Natasya Azwin Wan Asri, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, memaklumkan kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal bersama rakannya bergesel dengan sebuah lori.
"Mangsa yang gagal mengawal kenderaannya terjatuh sebelum anggota badannya digilis lori terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 64 tahun.
"Mangsa maut di lokasi kejadian, manakala rakan mangsa mengalami luka di mulut dan tangan," katanya
Noorzainy berkata, pemandu lori mendakwa, dia tidak sedar bahawa dia telah melanggar mangsa dan hanya menyedari kejadian apabila seorang individu tidak dikenali datang ke rumahnya memaklumkan bahawa dia terlibat dengan kemalangan.
Berikutan itu, pemandu terbabit hadir ke Balai Polis Trafik untuk membuat laporan berkaitan kemalangan berkenaan.
Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) bagi proses bedah siasat dan rakannya turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.