Keputusan bedah siasat dan hasil ujian swab ke atas pelajar Tingkatan Tiga yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur didapati negatif COVID-19.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pihaknya kini sedang menunggu laporan kimia bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

“KKM dah buat post mortem kita dah buat swab kepada mangsa yang meninggal dunia itu dan disahkan negatif COVID-19 dan tidak ada faktor COVID-19 dan post mortem telah dibuat kita akan menunggu laporan kimia selanjutnya sebelum dapat kita umumkan,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas menandatangani dokumen penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) dan Kuarters Kuala Kangsar pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Pada Rabu seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dilaporkan meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak.

Menurut sumber, pelajar Tingkatan Tiga itu dalam keadaan sihat sebelum mangsa tiba-tiba pengsan di dalam kelas di sekolah berkenaan.

Mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.

Sementara itu Dr Adham berkata, tiada bukti bahawa pemakaian pelitup muka boleh menjejaskan kesihatan atau menganggu pernafasan, begitu juga pemakaian di dalam kelas.

Menurutnya, pemakaian pelitup muka perlu bersesuaian mengikut saiz yang berpadanan dengan kanak-kanak bagi memastikan keselesaan kepada mereka semasa mengenakannya dalam mencegah penularan wabak COVID-19.

Terdahulu Adham menyaksikan penyerahan dokumen projek pembinaan klinik berkenaan daripada Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor iIfra) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Kerja Raya, Zulakmal Sufian.

Klinik Kesihatan yang dibina dengan reka bentuk luaran moden dengan kos RM28.27 juta itu akan dibuka tidak lama lagi dan berupaya menerima kedatangan pesakit seramai 300 sehingga 500 setiap hari.

BACA: Pelajar Tingkatan Tiga meninggal dunia selepas pengsan di sekolah